tabung_haji_kelana_jaya
Sejarah

Nama Sea Port Ditukar Kepada Kelana Jaya

10 Februari 1983 – Pada tahun 1983, Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan telah mengisytiharkan nama baru bagi kawasan bandar baru Sea Port sebagai Kelana Jaya. Menurut baginda nama Sea Port adalah tidak sesuai dari segi keperibadian Melayu dan penduduk tempatan. Menurut Baginda Nama Sea Port ditukar kepada Kelana Jaya sempena nama ayahanda saudara baginda Kelana Jaya Putra.

Sultan Selangor bertitah mengisytiharkan nama baru Kelana Jaya bagi kawasan Sea Port tersebut sewaktu merasmikan Kompleks Jemaah Haji di Seri Setia. Baginda berharap pihak Kerajaan Negeri Selangor dapat mewartakan dengan segera nama baru Kelana Jaya itu supaya ia dapat dikenali ramai.

tabung_haji_kelana_jaya

Dengan pengisytiharan nama baru serta dengan kewujudan Kompleks Jemaah Haji di kawasan ini akan dapat memajukan lagi kawasan ini dalam jangkamasa yang singkat. Pada masa sekarang setelah 10 tahun berlalu nama Kelana Jaya telah dikenali ramai dan semakin berkembang pesat dengan projek-projek perumahan dan juga perniagaan.

Pengisytiharan Diraja nama Sea Port kepada Kelana Jaya pada hari ini dalam tahun 1983 itu amat bermakna sekali dalam menghidupkan ciri-ciri keperibadian Melayu dan tempatan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
jata_johor-800px
Sejarah

Daeng Merewah-Yamtuan Muda Riau Pertama Mangkat

07 Ogos 1782 – Pada tahun 1782, Daeng Merewah, Yamtuan Muda Riau yang pertama mangkat setelah menjadi Yamtuan Muda Riau semenjak tahun 1722 dan dimakamkan di Sungai Baru, Riau. Daeng Merewah adalah salah seorang Raja-raja Bugis Lima Bersaudara dan berasal dari tanah Bugis.

Saudara-saudara baginda yang lain ialah Daeng Perani, Daeng Menambun, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi.

Semenjak awal kurun masihi yang ke-15, Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini mengembara dengan perahu-perahu perang mereka ke kawasan-kawasan bahagian Barat Nusantara terutama di perairan Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Riau dengan tujuan untuk berkuasa memerintah negeri-negeri di situ.

Pengaruh Raja-raja Bugis Lima Bersaudara mula tersebar di Semenanjung Tanah Melayu ketika pemerintahan Raja Kecil Johor yang bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat iaitu Sultan Johor yang ke-12.

Raja Kecil menaiki takhta kerajaan Johor setelah menyerang dan berjaya mengalahkan Kerajaan Johor di bawah Sultan Abdul Jalil Riayat Shah IV pada tahun 1718. Baginda kemudian telah menjadikan Sultan Abdul Jalil, bekas Sultan Johor sebagai Bendaharanya.

Hal ini telah menimbulkan kemarahan putera dan puteri Sultan Abdul Jalil iaitu Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah.

Kedatangan Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini disambut oleh Tengku Sulaiman dan Tengku Tengah. Mereka telah meminta bantuan Raja-raja Bugis ini bagi menjatuhkan semula Raja Kecil dari Takhta Kerajaan Johor.

Satu perjanjian telah dibuat antara kedua pihak di mana jika mereka berjaya merampas kembali kerajaan Johor dari Raja Kecil, salah seorang dari Raja Bugis itu akan dijadikan Yamtuan Muda atau Raja Muda turun temurun.

Selepas itu Raja-raja Bugis Lima Bersaudara ini pun kembali ke Pasai untuk menyiapkan angkatan perang mereka.

Sementara itu negeri Johor berada di dalam huru-hara kerana rakyat Johor telah terbahagi dua, satu pihak menyebelahi Raja Kecil dan satu lagi menyebelahi Sultan Abdul Jalil.

Akhirnya peperangan telah meletus di antara kedua belah pihak dan Sultan Abdul Jalil telah mengalami kekalahan dan berundur ke Pahang. Semasa dalam perjalanan ke Riau, Sultan Abdul Jalil telah dibunuh atas arahan Raja Kecil pada tahun 1720.

Peristiwa ini telah menimbulkan kemarahan putera baginda Raja Sulaiman dan Tun Abbas. Pada tahun 1721, Raja Sulaiman telah meminta pertolongan dari Raja-raja Bugis ini untuk merampas semula Kerajaan Johor.

Pada 4 Oktober 1722, Raja Sulaiman telah dilantik sebagai Sultan Johor setelah mengalahkan Raja Kecil. Berdasarkan kepada perjanjian yang telah ditandatangani maka Raja Sulaiman telah melantik Daeng Merewah sebagai Yamtuan Muda Riau I dan bergelar Kelana Jaya Putera.

Baginda telah digantikan oleh saudaranya Daeng Chelak selepas kemangkatan baginda hari ini dalam tahun 1728.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard