kediaman_dato_kelana_sungai_ujong-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung

10 Februari 1878 – Masalah sempadan negeri Selangor dengan Sungai Ujong telah dirundingkan semenjak tahun 1963. Masalah ini berpunca apabila orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending yang bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Pada tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending dan terpaksa terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Tiga tahun kemudian masalah sempadan Selangor dengan Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri. Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan menyebabkan pertelingkahan terus berlarutan .

sultan_abdul_samad_selangor

Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung Ditandatangani.

Akhirnya pada 10 Februari 1878, Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah menandatangani satu perjanjian sempadan Selangor dengan Sungai Ujung untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan selama beberapa tahun itu.

Perjanjian di antara Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung, Tengku Saiyid Abdul Rahman antara lain menyatakan bahawa:-

  • Pertama: Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas (Residen British di Selangor) Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan dan waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah olch Raja Bot dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad.
  • Kedua: Dengan nasihat Kapten Murray (Residen British di Sungai Ujung) Tengku Saiyid Abdul Rahman Dato’ Kelana Sungai Ujung bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungai Ujung dan bergelar Dato’ Kelana, mengaku bahawa mulai dari saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah berjaya mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung dan hal ehwal Lukut.

Perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Satu persetujuan juga telah dicapai dalam perjumpaan tersebut yang menetapkan kawasan-kawasan tanah dan wang sagu hati kepada Raja Bot apabila Lukut dimasukkan ke dalam perintah Sungai Ujung itu. Mengikut persetujuan itu Raja Bot dan keluarganya menerima wang sejumlah 27 ribu ringgit. Semenjak itu tamatlah pemerintahan Raja Bot dan ayahandanya Raja Jumaat yang telah menguasai Lukut selama 32 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard