ryuku_ambassador-800px
Sejarah

Hubungan Perdagangan Melaka – Ryukyu

11 April 1480 – Pada tahun 1480 Laksamana Melaka, iaitu Hang Tuah telah menyerahkan sepucuk surat kepada Raja Negeri Ryukyu di Negeri Jepun mengenai sebuah kapal Ryukyu yang terdampar di pantai Chio-Chih ataupun Annam Utara. Kapal tersebut yang pada mulanya bermaksud untuk mendapatkan air dikatakan telah terlibat dalam satu pergaduhan berdarah dengan orang-orang Chio-Chih. Laksamana Hang Tuah telah mendapat tahu mengenai kejadian itu Ialu menghantar satu pasukan penyiasat ke Chan-Che’eng iaitu Champa yang di bawah kuasa Annam, untuk menyiasat kejadian tersebut.

Setelah disiasat dengan teliti, pasukan penyiasat ini hanya menemui dua orang Ryukyu, salah seorang daripadanya telah mati kerana sakit.

Laksamana Hang Tuah juga melaporkan yang rombongan dagang raja Negeri Ryukyu termasuk seorang penterjemah bernama Tei Raku telah sampai ke Melaka dan setelah menjalankan perniagaan dengan aman telah kembali semula ke Ryukyu.

Melalui surat ini juga Laksamana Hang Tuah telah memohon diberi sebilah pedang, sebatang busar anak panah, dan sebuah pelana. Laksamana juga menyatakan bahawa kapal-kapal Ryukyu yang datang berniaga di Melaka semakin bertambah pada tiap-tiap tahun dan sentiasa memberi hadiah kepada raja dan pembesar Melaka.

Mengakhiri surat ini Laksamana Hang Tuah menyatakan rasa hormat dan kepercayaannya yang tidak akan berubah terhadap raja Ryukyu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Pudu_Prison_mural-800px
Sejarah

Penutupan Rasmi Penjara Pudu

1 November 1996 – Penjara Pudu yang terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur ditutup secara rasmi pada tahun 1996. Penutupan Penjara Pudu ini dilakukan dalam satu upacara penuh istiadat Jabatan Penjara dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Zaman Khan.

pudu jail

Empat anggota dari Maktab Penjara Kajang meniupkan tetuang dengan lagu ‘Last Post’ bermaksud berundur, bagi mengiringi upacara menurunkan bendera penjara di pekarangan pintu masuk Penjara Pudu tepat jam 9.10 pagi. Upacara ini dilangsungkan selepas operasi pemindahan semua 1,580 orang banduan Penjara Pudu ke Penjara Sungai Buloh yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Penjara, Omar Mohamad Dan, selesai kira-kira jam 8 pagi.

Penjara Pudu atau dulunya dikenali sebagai Pudu Goal mula dibina pada tahun 1891 di atas tanah seluas 10 hektar. Pembinaan penjara ini dibuat secara berperingkat dan siap sepenuhnya pada tahun 1895. Pada awal pembinaannya penjara Pudu hanya berkeupayaan memuatkan seramai 600 orang pesalah. Kumpulan banduan terawal yang menghuni penjara ini diambil dari daerah Jugra, Hulu Langat, Banting, Ampang, Klang dan Rawang.

Akibat daripada kepesatan pembangunan persekitarannya, ciri-ciri keselamatan penjara unik ini semakin tergugat. Berikutan itu Penjara Pudu yang penuh dengan sejarah dan menjadi mercu tanda Kuala Lumpur serta sarat menyimpan 1001 kisah dan tauladan kepada negara ini terpaksa ditutup pada hari ini dalam tahun 1996 setelah berjasa lebih 100 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard