Sejarah

Penawanan Jambatan Bandar Melaka Oleh Portugis

08 Ogos 1511 – Pada tahun 1511, angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque berjaya menawan jambatan Bandar Melaka yang menghubung kedua-dua bahagian bandar Melaka itu.

Melaka pada masa ini diperintah oleh Sultan Mahmud merupakan sebuah empayar yang agung dan pusat perdagangan yang berjaya. Penduduknya dianggarkan seramai 200,000 orang dengan jumlah askar 20,000 orang.

mallaca fort gate

Sebelum jambatan penting ini ditawan, de Albuquerque yang datang dengan 18 buah kapal perang dan 1500 orang askar lengkap dengan senjata moden meminta Sultan Mahmud membebaskan beberapa orang Portugis yang ditawan oleh Melaka sebelum ini, walau bagaimanapun permintaan itu ditolak.

Tentera Portugis dengan bantuan saudagar Cina telah berusaha untuk menawan bandar Melaka dan untuk tujuan itu jambatan yang membahagikan Melaka perlu dikuasai terlebih dahulu.

Serangan hebat oleh tentera Portugis terhadap Melaka telah berjaya menawan jambatan Bandar Melaka tersebut, dan Melaka kini jatuh ke tangan penjajahan Portugis.

Sultan Mahmud melarikan diri ke Pahang dan anakandanya Sultan Ahmad melarikan diri ke Muar.

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada hari ini dalam tahun 1511 menandakan berakhirnya zaman Kesultanan Melayu Melaka, serta merupakan titik bermulanya penjajahan barat di Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
alfonso_de_albuquerque-800px
Sejarah

Serangan Pertama Portugis Ke Atas Melaka

25 Julai 1511 – Pada tahun 1511, Melaka telah diserang oleh askar-askar Portugis yang diketuai oleh Alfonso De Albuquerque. Serangan pertama Portugis ke atas Melaka ini ekoran daripada tidak ada tolak ansur di antara Sultan Mahmud, dan orang-orang Portugis mengenai orang-orang tahanan Portugis.

Askar-askar Portugis telah melancarkan serangan pada waktu subuh hari ini, iaitu hari St. James, dengan menaiki beberapa buah perahu. Orang-orang Portugis mendarat di bahagian utara dan selatan bandar Melaka.

Perahu-perahu yang membawa askar-askar Portugis telah dibedil dengan meriam dari darat oleh orang-orang Melayu.

Tetapi askar-askar Portugis itu dapat juga mendarat, dan satu pertempuran hebat telah berlaku di antara askar-askar Portugis dan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Mahmud dan putera baginda Raja Ahmad.

Setelah bertempur beberapa jam lamanya ramai askar-askar kedua belah pihak terbunuh dan orang-orang portugis telah mencapai objektifnya untuk menawan jambatan dekat dengan Kuala Sungai Melaka.

Bagi orang-orang Melayu banyak rumah-rumah dan harta benda telah musnah, dan yang paling penting ialah Istana Sultan Melaka yang menjadi lambang kebesaran Kerajaan Melayu yang telah turut juga musnah.

Alfonso de Albuquerque

Alfonso de Albuquerque

Askar-askar Portugis seramai 70 orang yang mempertahankan jambatan serta membuat kubu-kubu di kedua-dua hujung jambatan itu, telah dihujani dengan tembakan meriam, tombak dan sumpitan beracun dari orang-orang Melayu.

Oleh kerana serangan itu tidak berhenti-henti maka orang-orang Portugis tidak dapat mempertahankan jambatan tersebut dan semuanya telah terbunuh kecuali seorang pegawai bernama Fernao Gomez yang terselamat.

Pada petang itu juga baki askar-askar Portugis yang masih hidup di bandar Melaka telah bertempiaran lari ke kapal mereka.

Peperangan tersebut adalah satu detik bersejarah bagi orang-orang Melayu untuk mempertahankan tanah air mereka dari pencerobohan Portugis.

Kekalahan Portugis dalam pertempuran tersebut adalah satu kemenangan bagi orang-orang Melayu dalam usaha mempertahankan Melaka daripada kuasa besar Barat yang bertujuan untuk menguasai perdagangan dan menghapuskan pusat perkembangan Islam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard