sultan_abdul_samad_selangor-800px
Sejarah

Syed Masahor Menjadi Penghulu Ulu Kerling

23 Jun 1883 – Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah mengutus surat kepada Frank Swettenham, Residen Inggeris di Selangor memperkenankan supaya ditawarkan pekerjaan dan elaun kepada Syed Masahor untuk berkhidmat di Negeri Selangor. Hasil dari permintaan Baginda Sultan, Syed Masahor telah ditawarkan dan dilantik menjadi Penghulu Ulu Kerling pada 01 Disember 1883.

Syed Masahor bin Syed Muhammad Ash-Sahab adalah berketurunan Arab, berasal dari Pontianak (Kalimantan Barat (West Borneo) dan telah lama diam di Langat. Pada masa permulaan Perang Kelang (1867-1873), beliau berada di Negeri Perlis untuk melawat keluarganya. Syed Masahor yang memang terkenal sebagai seorang pahlawan dan berpengalaman di dalam selok-belok peperangan telah dijemput oleh Sultan Abdul Samad untuk menjadi ketua menjaga pertahanan Kuala Selangor yang di bawah jagaan Raja Musa.

sultan_abdul_samad_selangor

Syed Masahor Menyertai Raja Mahadi

Syed Masahor telah ditugaskan oleh Baginda Sultan mengambil semula daerah Kuala Selangor yang telah jatuh ke tangan Raja Mahadi. Syed Masahor pada mulanya telah menerima permintaan Sultan Selangor itu dan mengepalai satu pasukan tentera untuk menyerang Kuala Selangor tetapi berita kematian saudaranya, Syed Abdullah di Langat menyebabkan beliau berpaling tadah lalu menyebelahi Raja Mahadi.

Syed Masahor mengesyaki dan menuduh Sultan Abdul Samad dan anakanda baginda, Raja Yaakob yang mengakibatkan kematian saudaranya itu.

Syed Masahor kemudiannya telah memainkan peranan penting dan menjadi Panglima Perang Pasukan Raja Mahadi dalam Perang Kelang atau dikenali Juga dengan Perang Saudara (1867-1873).

Peranannya di dalam peperangan ini bermula Julai 1870 (apabila pasukan beliau bersama-sama dengan Chong. Chong dan pasukannya menyerang orang-orang Mandaling dan Fel Chow di Sungai Ampang dan Kelang di antara bulan Ogos dan September 1870 hinggalah tamat peperangan.

Perang Kelang adalah di antara Raja Mahadi, Raja Mahmud dan Syed Masahor yang disokong oleh pelombong-pelombong bijih timah dari puak Ghee Hin dengan Tengku Kudin (wakil Yamtuan) dan Yap Ah Loy yang disokong oleh pasukan dari Pahang dan pelombong-pelombong bijih timah dari puak Hai San.

Tengku Kudin (duduk)

Tengku Kudin (duduk)

Syed Masahor, di dalam usahanya membantu Raja Mahadi telah berjaya mengumpulkan 2,000 orang pengikut di Ulu Selangor, dan dalam pertengahan bulan Jun 1871 beliau bersama-sama dengan Chong-Chong, Ketua puak Ghee Hin cuba menyerang Kuala Lumpur tetapi telah dihalang di Rawang oleh angkatan Tengku Kudin dan penyokongnya Yap Ah Loy, Ketua puak Hai San dan menyebabkan Syed Masahor berundur semula ke Ulu Selangor. Tengku Kudin dan Yap Ah Loy telah berjaya menawan Kuala Lumpur dalam bulan Ogos, 1871.

Dalam bulan November, 1971, Syed Masahor bersama-sama dengan 250 orang penyokongnya dan sepasukan orang-orang Rawa telah mengepung kubu Tengku Kudin (yang dikawal oleh Wan Aman dari Pahang dan orang-orangnya) dan menyekat bekalan makanan dan senjata yang dibawa masuk ke Kuala Lumpur.

Pada bulan Mac 1872, Syed Masahor sekali lagi menyerang Kuala Lumpur dan kali ini dengan bantuan Raja Mahmud dan Raja Mahadi beliau berjaya menawan Kuala Lumpur dari Tengku Kudin dan Yap Ah Loy. Di dalam serangan itu juga Syed Masahor berjaya membunuh Van Hagen, Komandan ‘Sepoy’ upahan Tengku Kudin.

Hai San

Selepas menawan Kuala Lumpur Syed Masahor menuju ke Kuala,Selangor dan berjaya menawan Kuala Selangor dalam bulan Ogos 1872 juga dari Tengku Kudin. Kuala Lumpur berada di dalam kekuasaan Syed Masahor dan Raja Mahadi sehingga akhlr bulan Mac 1873.

Pada bulan Mac 1873, Raja Mahadi, Syed Masahor dan Raja Mahmud telah menerima tentangan hebat dari Tengku Kudin dengan bantuan tentera dari Negeri Pahang yang dipimpin oleh Imam Perang Rasu (Tok’ Raja) dan Orang Chenor.

Akibat dari tentangan ini Syed Masahor terpaksa berundur dari Kuala Lumpur ke Ulu Selangor dan akhirnya melarikan diri ke Negeri Perak. Raja Mahadi dan Raja Mahmud pula berjaya melarikan diri ke Sungai Ujong. Mulai saat itu Tengku Kudin berjaya mengukuhkan kedudukannya di Negeri Selangor hingga berakhirnya Perang Kelang.

Selepas Perang Kelang Syed Masahor dianggap musuh oleh sebilangan pegawai-pegawai Inggeris dan Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad. Semasa di Perak Syed Masahor pada mulanya telah memihak kepada Sultan Abdullah dalam pakatan untuk membunuh Birch tetapi kemudiannya keluar dari pakatan itu sejurus sebelum berlakunya pembunuhan itu. Ini diakui sendiri oleh Birch sejurus sebelum kematiannya. Beliau terus membantu Inggeris untuk mengembalikan ketenteraman di Perak.

Syed Masahor Kembali Ke Selangor

Syed Masahor juga, kemudiannya berjaya berhubung semula dengan Baginda Sultan Selangor dan menyakinkan kepercayaan Baginda Sultan terhadapnya. Beliau menyatakan kesusahan yang dialaminya kepada Baginda Sultan.

Akhirnya pada 23 Jun 1883 Sultan Abdul Samad telah mengirim surat kepada Frank Swettenham supaya menawarkan pekerjaan dan elaun kepada Syed Masahor dan berkhidmat di Negeri Selangor. Hasilnya Syed Masahor telah dilantik menjadi Penghulu Ulu Kerling pada 12 Disember 1883.

Syed Masahor telah menunjukkan kebolehannya semasa berkhidmat sebagai Penghulu Ulu Kerling. Dalam masa yang singkat beliau berjaya membangunkan Ulu Kerling melalui pembukaan lombong dengan menggunakan pelombong-pelombong Cina serta juga pembukaan tanah-tanah baru.

Semasa meletusnya penentangan terhadap Inggeris di Pahang (Pemberontakan Pahang 1891-1895) yang diketuai oleh Dato’ Bahaman, Syed Masahor telah turut membantu Inggeris untuk menghapuskan penentangan itu. Syed Masahor bersara sebagai Penghulu Ulu Kerling pada 01 Februari 1899.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard