30 Jun 1957 – Persetujuan secara sebulat suara telah dicapai untuk menerima Kertas Putih Rangka Perlembagaan bagi kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang meliputi perlembagaan negeri Melaka dan Pulau Pinang pada tahun 1957. Perkara-perkara penting berkaitan Kertas Putih ini telah dibincangkan terlebih dahulu dalam Perhimpunan Agong UMNO, sebelum ianya diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan London.
Antara perkara-perkara yang terkandung dalam rangka Perlembagaan ini ialah berkenaan soal kerakyatan melalui pendaftaran oleh warga asing, bagi memastikan kesetiaan kepada tanahair. Antara lain juga DYMM Yang di-Pertuan Agong melalui perlembagaan ini diberi kuasa untuk mengisytiharkan darurat apabila wujudnya ancaman keselamatan di dalam negara.
Selain daripada itu juga perlembagaan ini juga memberi kuasa khas kepada Parliman untuk mengeluarkan undang-undang subversif. Berikutan daripada itu pada 2 Julai 1957, Kertas Putih yang mengandungi Rangka Perlembagaan bagi Kemerdekaan Tanah Melayu ini telah diterbitkan di Persekutuan Tanah Melayu dan di London.
Sumber : Arkib Negara Malaysia