dutch_war1-800px
Sejarah

Selangor Ditawan Oleh Belanda

02 Ogos 1784 – Pada tahun 1784, Selangor ditawan oleh Belanda yang memulakan serangan pada 13 Julai 1784. Kemenangan Belanda ke atas pusat pemerintahan di Kuala Selangor itu menyebabkan Sultan Ibrahim, Sultan Selangor pada masa itu bersama para pembesar dan pengikutnya berundur ke negeri Pahang.

Serangan Belanda ke atas Selangor ini adalah sebagai membalas serangan Selangor ke atas kedudukan Belanda di Melaka.

Ini kerana semasa peperangan Kerajaan Melayu Johor-Riau dengan Belanda, Sultan Ibrahim yang bersimpati dengan Johor telah membantu menyerang Belanda di Melaka di mana Belanda hampir-hampir tewas dalam tahun 1783 sekiranya tidak mendapat bantuan dari Betawi, Jawa.

Dengan penguasaan Belanda ke atas Selangor selepas mengharungi peperangan sengit, Belanda telah memperkuatkan lagi Kota di Kuala Selangor yang terletak di atas Bukit Melawati.

Untuk beberapa waktu Belanda juga menguasai perjalanan lalulintas Selat Melaka dan menguasai perdagangan bijih timah dan gambir.

Walau bagaimanapun dengan bantuan tentera Bendahara Pahang, Sultan Ibrahim telah menyerang dan menawan semula ibu negerinya Kuala Selangor dari tangan Belanda dalam tahun 1785.

Dengan kekalahan Belanda ini, Sultan Ibrahim dapat menegakkan kembali Kerajaan Melayu Selangor. Baginda juga kemudiannya telah memperbaiki dan memperkuatkan lagi Kota Melawati sebagai tempat kawalan dan pertahanan kerajaannya dari sebarang serangan dari luar dan masa hadapan.

Kemenangan Belanda ke atas Selangor pada hari ini dalam tahun 1784 adalah bersifat sementara sahaja kerana pada 28 Jun 1785 Selangor telah menewaskan Belanda semula dan mengusir penceroboh itu dari tanah airnya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard