08 Jun 2005 – Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad selaku penasihat Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) telah melancarkan model kenderaan terbarunya Savvy pada tahun 2005.
Dalam sesi memperkenalkan model baru Proton tersebut, model Savvy ini telah direka khusus sebagai kereta kompak yang memiliki lima pintu dan mampu menghasilkan 74 kuasa kuda membolehkannya mencapai kelajuan 170 km sejam. Kenderaan ini mempunyai kekuatan kerangka tiga kali ganda lebih baik dari model Proton Wira yang telah berada dalam pasaran.
Selain keupayaan yang memuaskan ini model Savvy juga tidak memerlukan penggunaan minyak yang banyak untuk menjalankan jenteranya. Ini kerana model Savvy ini menggunakan enjin Renault buatan Perancis yang hanya memerlukan 18.9km/liter untuk setiap 90 km. Keputusan menggunakan enjin Renault dan mengabaikan penggunaan enjin Campro adalah disebabkan faktor kesuntukan masa bagi menyesuaikan enjin Campro untuk kegunaan model Savvy.
Model Savvy ini ditawarkan dalam tiga variasi iaitu asas, standard dan selesa. Harga bagi setiap model Savvy yang ditawarkan ialah sekitar RM 40,523 hingga RM 43,714 menjadikan ia mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Sumber : Arkib Negara Malaysia