jata_johor-800px
Sejarah

Perutusan Khas Johor Ke Melaka

10 September 1643 – Pada tahun 1643, satu Perutusan Khas dari Kerajaan Johor telah dihantar ke Melaka untuk bertemu pemerintah Belanda. Rombongan Perutusan Khas Johor ke Melaka ini telah diketuai oleh Tun Indera Segera, seorang pembesar Sultan Abdul Jalil, Sultan Johor. Perutusan Khas ini dihantar ke Melaka bertujuan untuk menyatakan kepada Belanda bahawa negeri Perak dan Deli yang sedang dikuasai oleh Acheh adalah Wilayah-wilayah Johor.

Oleh kerana itu Sultan Johor, bercadang untuk mengambil semula negeri-negeri tersebut dan memperluaskan lagi Empayar Johor dengan bantuan Belanda. Negeri Perak telah mula ditakluki oleh Acheh ketika Sultan Iskandar Mahkota Alam memerintah dalam tahun 1620 dan Deli pada 1612 dan 1620. Oleh kerana kedua-dua wilayah ini adalah wilayah di bawah ketuanan Kesultanan Melaka dan kemudiannya diwarisi oleh Sultan Johor. Keadaan ini telah menyebabkan Sultan Abdul Jalil ingin menuntut kuasa ke atasnya dari Sultan Acheh tetapi sebaliknya Johor telah diserang oleh tentera-tentera Acheh.

Apabila Belanda berjaya mengalahkah Melaka dengan bantuan Johor, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani di mana Belanda dan Johor bersetuju untuk bekerjasama dalam perdagangan dan memberi bantuan tentera untuk menentang musuh. Belanda juga bersetuju memberi perlindungan sepenuhnya kepada Johor. Perhubungan persahabatan dieratkan, Belanda dan Johor sering bantu membantu di dalam perdagangan dan kuasa-kuasa perairan.

Walau bagaimanapun, kedatangan Tun Indera Segera dikhuatiri oleh Belanda disebabkan oleh kuasa Johor yang semakin kuat setelah berkuasa semula di Pahang dan membuat perhubungan dengan kerajaan Goa di Makasar, tanpa perantaraan Belanda.

Melalui perutusan ini juga, Johor telah menegaskan pendiriannya tidak akan menyerahkan senjata dan orang-orang tawanan Pahang dari keturunan Acheh seperti yang diarahkan oleh Belanda atas permintaan Permaisuri Acheh. Belanda terpaksa mematuhi kehendak-kehendak Johor untuk menjaga kepentingannya di kalangan penduduk-penduduk tempatan khasnya dari Johor. Di samping itu kedatangan perutusan khas Johor ini telah memberi erti yang besar kepada kerajaan Johor kerana dapat menentukan sejauh mana pendirian Belanda setelah menandatangani Perjanjian Johor-Belanda.

Johor begitu yakin Belanda akan memberi kerjasama dan bantuan sebagai mana yang dikehendaki oleh Johor. Melalui perhubungan persahabatan Johor-Belanda, kerajaan Johor bertambah maju dan kuasanya bertambah teguh hingga akhirnya Belanda sendiri berasa tidak senang dan mula memusuhi Johor di abad lapanbelas.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard