14 Mac 1957 – Persidangan terakhir Majlis Raja-Raja Melayu sebelum merdeka telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 Mac 1957. Di antara perkara-perkara penting yang dipersetujui dalam persidangan itu ialah pelantikan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Pengerusi Tetap bagi Majlis Raja-Raja setelah negara mencapai kemerdekaan.
Isteri Yang di-Pertuan Agong pula akan diisytiharkan sebagai Permaisuri Agong dan Wanita Pertama Negara. Pengisytiharan kemerdekaan dilakukan selepas upacara penyerahan kuasa secara rasmi oleh wakil Diraja Inggeris kepada pihak Persekutuan Tanah Melayu di Stadium Merdeka.
Pengisytiharan kemerdekaan akan dilakukan sama ada oleh Yang di-Pertuan Agong, wakil keluarga Diraja Inggeris atau Ketua Menteri. Manakala negara-negara berhaluan kiri tidak akan dijemput semasa perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama perayaan kemerdekaan dan rangka cadangan perjanjian pertahanan dan kerjasama antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British diluluskan.
Persidangan terakhir Majlis Raja-raja Melayu sebelum merdeka ini amat penting dalam menentukan persiapan bagi upacara menyambut kemerdekaan negara dan pengukuhan kedaulatan Raja-raja Melayu selepas negara merdeka.
Persidangan pertama Majlis Raja-raja Melayu diadakan pada 18 Februari 1948 di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan pertama ini dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia