1 November 1923 – Perjanjian Kedah – Inggeris telah ditandatangani di antara Sir Laurence Guilemard, Gabenor Negeri-negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Tunku Ibrahim wakil Sultan Kedah pada tahun 1923. Melalui perjanjian ini, Negeri Kedah secara rasmi menerima seorang Penasihat Inggeris.
Menurut Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 10 Mac 1909, Siam bersetuju menyerahkan kuasa kedaulatan, pertahanan, pentadbiran dan segala hak milik ke atas Negeri-negeri Utara Tanah Melayu iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dengan perjanjian ini Negeri-negeri tersebut secara tidak langsung diletakkan di bawah kuasa Inggeris.
Bagaimanapun bukanlah mudah bagi Inggeris untuk berkeras di Negeri Kedah. Inggeris terpaksa menghadapi tentangan yang sungguh hebat di negeri itu jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Selepas Perjanjian Bangkok, Inggeris telah menghantar George Maxwell sebagai Penasihat Inggeris di Kedah tetapi beliau telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kedah dan Sultan Kedah sendiri enggan menerimanya malahan enggan menandatangani sebarang perjanjian dengan Inggeris.
Namun begitu akhirnya Sultan Kedah terpaksa juga menerima kedatangan Inggeris itu atas hubungan kerjasama. Inggeris merasakan kedudukannya di Kedah harus diperkukuhkan. Menyedari hal ini maka pada hari ini dalam tahun 1923 perjanjian ini telah ditandatangani antara Inggeris dengan Kerajaan Kedah. Di antara lain perjanjian ini menyatakan:-
- Negeri Kedah akan terus diletakkan di bawah perlindungan Inggeris dan Sultan Kedah tidak dibenarkan berhubung dengan kuasa-kuasa luar kecuali dengan persetujuan Inggeris.
- Inggeris tidak akan menyerahkan kekuasaannya ke atas Negeri Kedah kepada kuasa-kuasa lain atau menyatukan Kedah dengan sebarang negeri atau tanah jajahannya yang lain tanpa persetujuan bertulis dari Sultan Kedah.
- Pewarisan takhta kerajaan atau pengganti Sultan akan ditentukan oleh Sultan yang memerintah setelah diputuskan di Majlis Negeri serta dengan persetujuan Inggeris.
Dengan termeterainya perjanjian ini, Negeri Kedah dengan rasminya terletak di bawah naungan Inggeris bersama-sama dengan Terengganu, Kelantan dan Perlis. Negeri-negeri ini terangkum di bawah Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia