selangor_perak-800px
Sejarah

Perjanjian Antara Negeri Selangor Dan Negeri Perak

11 Julai 1823 – Pada tahun 1823, satu perjanjian antara negeri Selangor dan negeri Perak telah ditandatangani. Perjanjian ini  adalah untuk menyekat perdagangan bijih timah yang dimonopoli oleh Belanda.

Perjanjian ini ditandatangani akibat wujudnya hubungan antara kedua-dua buah negeri dengan pihak Belanda.

Dalam tahun 1648 Perak telah menandatangani satu perjanjian yang memberikan Belanda menopoli dalam perdagangan bijih timah.

Apabila Melaka diletakkan di bawah kawalan Belanda dalam tahun 1818, Gabenor Thyssen telah menghantar satu utusan ke Perak menuntut perjanjian tahun 1648 itu diperbaharui semula.  Sultan Perak terpaksa mematuhinya kerana sedar akan ancaman Belanda.

Selangor juga ketika itu berada di bawah pengaruh Belanda.  Dalam tahun 1783 Selangor telah menyerang Melaka yang ditadbirkan oleh Belanda, tetapi tidak berjaya.

Sultan Selangor, Sultan Ibrahim telah dipaksa menandatangani perjanjian yang meletakkan Selangor di bawah lindungan Belanda dalam tahun 1786.  Perjanjian ini telah memberi Belanda monopoli dalam perdagangan bijih timah.

Dalam tahun 1819 Gabenor Thyssen telah mendesak Sultan Selangor untuk menandatangani satu perjanjian yang sama seperti tahun 1786.  Sultan Ibrahim terpaksa mematuhinya kerana bimbangkan keselamatan negeri baginda.

Bagaimanapun kerajaan Belanda di Betawi enggan mengesahkan perjanjian tersebut dan Selangor bebas dari kawalan asing.

Akhirnya dengan persetujuan negeri Selangor dan negeri Perak, maka pada hari ini dalam tahun 1823 satu perjanjian telah ditandatangani bagi menyekat perdagangan bijih timah yang dimonopoli oleh Belanda.

Antara syarat-syarat utama perjanjian tersebut ialah:-

  • Cukai yang dikenakan ke atas bijih timah dari Perak akan dibahagi dua antara kedua-dua belah pihak.
  • Kedua-dua pihak dikehendaki bekerjasama dalam urusan perdagangan bijih timah.  Pedagang-pedagang dari Selangor dibenarkan berdagang dengan bebas di Perak, tetapi mereka tidak dibenarkan menjalankan perdagangan bijih timah.
  • Jika mana-mana pihak melanggar perjanjian ini, gantirugi perlu dibayar sebanyak $10.00 bagi setiap orang.  Manakala bagi kerabat diraja dari kedua-dua belah pihak pula, tidak ada kadar gantirugi tetap yang dikenakan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard