27 Februari 1949 – Persatuan Cina Malaya (MCA) pada asalnya ditubuhkan untuk membantu masyarakat cina yang ditempatkan semula dalam usaha kerajaan memerangi komunis di Malaya. Antara tindakan yang dilakukan di dalam rancangan Briggs adalah memindahkan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil yang bertaburan dan menempatkan mereka di kawasan penempatan semula atau di Kampung Baru.
Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney adalah untuk melindungi masyarakat cina dari diugut oleh komunis untuk memberi maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan seterusnya untuk melumpuhkan kegiatan mereka.
MCA telah banyak membantu dengan mengambil langkah-langkah segera dengan menyediakan rumah, makanan, perubatan dan bantuan kewangan. Selepas penempatan semula, MCA juga telah membantu menyediakan kemudahan elektrik dan air untuk kampung-kampung baru tersebut. Sekolah-sekolah rendah Cina dan perpustakaan awam juga dibina untuk kegunaan masyarakat Cina.
Persatuan Cina Malaya (MCA) yang ditubuhkan pada 27 Februari 1949 telah melantik Sir Tun Tan Cheng Lock telah menjadi Presiden yang pertama, Yong Shook Lim sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo Teck Ee sebagai Bendahari Kehormat. Pemimpin-pemimpin pengasas lain termasuk H.S Lee (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Politik, Pemuda, Wanita), Tan Siew Sin (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Publisiti) dan Leong Chong Leng (Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan Sosial/ Budaya).
Pada peringkat awal penubuhannya, MCA lebih menjurus sebagai Pertubuhan Kebajikan, namun pada tahun 1952 ia telah menjadi sebuah parti politik dengan menyertai Perikatan UMNO-MCA bagi tujuan memenangi Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur.
Kerjasama tersebut telah menerima sokongan kuat dan memenangi 94 daripada124 kerusi yang ditandingi. Keputusan ini telah membina asas kepada pergabungan 3-parti yang dinamakan “Parti Perikatan” yang akan ditubuh pada masa depan. Berikutan daripada permuafakatan ini, ianya telah membawa kepada kerjasama dalam perjuangan untuk memperolehi kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.
Sesuai dengan penubuhan Malaysia kini Persatuan Cina Malaya dikenali sebagai Persatuan Cina Malaysia / Malaysian Chinese Association (MCA)
Sumber : Arkib Negara Malaysia