03 Ogos 1957 – Pada tahun 1957, satu Persidangan Khas Raja-raja Melayu telah diadakan bagi memilih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pertama dan Timbalannya bagi Persekutuan Tanah Melayu Merdeka pada 31 Ogos 1957.
Persidangan yang telah berlangsung di Dewan Mesyuarat Majlis Kerja Kerajaan Persekutuan, Kuala Lumpur ini dipengerusikan oleh Sultan Kedah.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalannya telah dilangsungkan mengikut syarat-syarat bahagian tiga dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu di Persidangan Raja-Raja Melayu yang ke-43.
Kesemua Raja Melayu telah hadir pada Persidangan Khas ini kecuali Sultan Johor yang berada di Eropah dan telah diwakili oleh Tengku Mahkotanya.
Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama, sementara DYMM Tuanku Hisamuddin Alam Shah ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor dipilih sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Pemilihan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara telah menjadi lambang kepada Persekutuan Tanah Melayu yang bebas dan Merdeka.
Gambar potret baginda masih lagi digunakan di atas wang kertas Ringgit Malaysia sejak siri pertama (tahun 1967) sehingga kini.
Sumber : Arkib Negara Malaysia