09 Mac 1977 – Perasmian Kompleks SIRIM Shah Alam, Selangor telah dilakukan oleh Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah Alhaj.
Kompleks yang dirasmikan pada 9 Mac 1977 ini mempunyai kemudahan infrastruktur seperti makmal ujian yang lengkap dengan ‘test bed’, makmal ujian fizikal dan material serta makmal konkrit dan simen. SIRIM atau Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia ini telah ditubuhkan pada tahun 1975 melalui penggabungan Institut Piawaian Malaysia (SIM) dan Institut Penyelidikan Sains dan Industri Negara (NISIR). SIRIM ditubuhkan sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar di bawah Akta SIRIM (Incorporation) 157.
Antara peranan penting SIRIM adalah:
- menyediakan piawaian berdasarkan keperluan perindustrian dan ekonomi negara dengan mengeluarkan Sijil SIRIM;
- menggalak dan melakukan penyelidikan saintifik dan industri terutama dalam industri asas tani, industri kecil dan industri yang berasaskan barangan tempatan. Ini akan dilakukan dengan kerjasama institusi penyelidikan seperti RRIM, MARDI dan Institut Penyelidikan Perhutanan; dan
- menyediakan ‘extension and consultancy services’ termasuk menguji bahan mentah dan barangan keluaran industri, mengendalikan ujian bahan kimia, membuat pemilihan proses pengeluaran, menggunakan teknologi luar dan memperkenalkan teknologi baru serta mengenal pasti masalah yang berlaku dalam industri. Ini akan dilakukan dengan kerjasama MARA, MIDF, FIDA dan NPC.
Sumber: Arkib Negara Malaysia