23 Ogos 1959 – Pada tahun 1959, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pemimpin Kebangsaan Parti Perikatan iaitu Parti UMNO, MCA, MIC, telah membentuk kabinet pertama selepas merdeka.
TYM Tunku telah mengangkat sumpah pada 22 Ogos 1959 mengambil alih semula jawatan Perdana Menteri daripada Dato’ Abdul Razak bin Hussein yang telah menyandang jawatan itu semasa Tunku bercuti selama 3 bulan untuk menjalankan kempen pilihanraya.
Pembentukan kabinet pertama selepas merdeka ini adalah hasil kemenangan Parti Perikatan dalam pilihanraya 19 Ogos 1959.
Semua menteri dalam kabinet Persekutuan yang dibentuk pada tahun 1957 telah dilantik semula kecuali Kolonel Sir H.S. Lee Menteri Kewangan kerana tidak bertanding sebagai calon dalam pilihanraya dan Encik Mohd Khir Johari yang bertanding di kawasan Kedah Tengah di mana pilihan raya kawasan ini telah ditangguhkan kepada 30 September 1959.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al- Haj, Perdana Menteri yang juga bertanggungjawab untuk kemajuan kampung-kampung yang pertama selepas Persekutuan mencapai kemerdekaan.
YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj selaku Ketua Kabinet dan Perdana Menteri berikrar akan berusaha untuk :-
- Memimpin rakyat Persekutuan Tanah Melayu ke arah membina satu bangsa yang tulen.
- Menghimpun dan menggembelingkan segala usaha dan tenaga bagi memajukan negara ini dan menambahkan kemakmuran kawasan- kawasan kampung serta menghapuskan segala macam bentuk percubaan Parti Komunis Malaya yang hendak menggulingkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, kerajaan pilihan rakyat.
- Menjalankan ikhtiar supaya negeri-negeri di Asia Tenggara dapat bekerjasama dengan rapat dan dapat mencapai faedah bersama terutama dalam bidang ekonomi, sosial dan sains.
Sumber : Arkib Negara Malaysia