09 Jun 1948 – Pada tahun 1948, Polis Persekutuan Tanah Melayu telah diberi kuasa yang luas dalam melaksanakan tugas harian mereka kepada negara. Kenyataan ini telah dibuat oleh Pegawai Pemerintah Polis Encik H.B. Longworthy di Kuala Lumpur. Tujuan utama perluasan kuasa ini diadakan ialah untuk memenuhi kedudukan suasana politik pada masa itu. Di antara kuasa-kuasa yang diperluaskan itu ialah:-
- Kuasa untuk membuang negeri kepada mereka yang tidak dibenarkan lagi tinggal di Tanah Melayu. Tindakan membuang negeri ini telah pun dilaksanakan sebaik sahaja ia berkuatkuasa. Menurut Encik H.B Longworthy kuasa baru ini juga akan dilaksanakan di Singapura.
- Semua pegawai telah diperintahkan supaya sentiasa membawa senjata sama ada pada masa kerja atau luar kerja.
- Pemeriksaan mengejut dan penahanan kepada yang bersalah akan dijalankan di jalan-jalan raya, pekan-pekan dan kampung-kampung di negeri ini.
Berikutan peluasan kuasa ini juga, Ketua Polis Selangor Encik D.P. Macnamara menjelaskan iaitu peluasan kuasa ini merupakan langkah-langkah permulaan dalam pergerakan Polis menghapuskan penjahat dan penyamun. Beliau telah menyeru kepada peladang-peladang di negeri ini supaya membeli senapang sebagai alat kawalan keselamatan mereka.
Sesungguhnya dengan peluasan bidang kuasa Polis Persekutuan Tanah Melayu pada hari ini dalam tahun 1948, telah memperkukuhkan lagi keamanan rakyat daripada gangguan penjenayah di samping dapat melicinkan lagi pentadbiran perkhidmatan Polis di negara ini.
Sumber : Arkib Negara Malaysia