pramlee-800px

P. Ramlee Meninggal Dunia

29 Mei 1973 – Seniman Agung P. Ramlee meninggal dunia secara mengejut ketika berusia 43 tahun. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi isterinya, Salmah Ismail (Saloma) di Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.30 pagi 29 Mei 1973.

Nama kelahiran Allahyarham adalah Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh. Neneknya telah memanggil cucunya dengan panggilan “Ramlee” kerana kesukaran memanggil nama “Teuku Zakaria”. Allahyarham P.Ramlee yang telah menceburkan diri dalam lapangan perfileman hampir suku abad telah banyak melahirkan “bintang-bintang” filem yang terkenal.

P_ramlee

Sejarah perjuangannya adalah sejarah perkembangan perfileman Melayu sendiri. Allahyarham terkenal sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis skrip, pelakon dan juga pengarah filem. Semasa hayatnya Allahyarham P.Ramlee telah berlakon dalam lebih 200 filem, mengarah lebih 40 buah filem dan telah menggubah lebih 1,000 lagu yang menjadi kesukaan ramai.

Allahyarham mula menceburkan diri dalam dunia perfileman pada tahun 1948. Ketika itu Allahyarham hanya menjadi pelakon tambahan dan penyanyi suara latar filem sahaja. Hanya pada tahun 1951 Allahyarham telah dipilih menjadi pelakon utama dalam filem Takdir Ilahi. Pada tahun 1953, Allahyarham telah mengarah filem sulungnya iaitu ‘Penarik Beca’.

Sesungguhnya Allahyarham P.Ramlee telah meninggalkan jasa baktinya dalam sejarah perkembangan filem di negara ini. Pemimpin-pemimpin negara, rakan seperjuangannya serta peminatnya menganggap pemergian Allahyarham satu kehilangan tokoh kebudayaan Melayu, yang agung dan sukar dicari ganti.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.