Commonwealth_Flag-800px

Malaysia Menarik Diri Dari Kumpulan 8 Negara Komanwel

05 Mac 1971– Pada tahun 1971, Malaysia telah menarik diri dari menjadi anggota Badan Pengkaji Kumpulan 8 Negara Komanwel. Pengumuman ini dibuat oleh Kementerian Luar Negeri sebagai bantahan terhadap pengumuman Britain hendak membekalkan helikopter jenis Wasp kepada negara Afrika Selatan tanpa menunggu laporan dari kumpulan negara yang membuat kajian.

Kumpulan Badan Pengkaji tersebut dibentuk oleh negara-negara Komanwel di Singapura pada bulan Januari 1971 untuk mengkaji masalah penjualan senjata Britain kepada Afrika Selatan.

Westland Wasp HAS.1
Westland Wasp HAS.1

Malaysia telah pun menjelaskan sikapnya bahawa sebarang keputusan Britain untuk menjual senjatanya kepada Afrika Selatan sebelum kumpulan itu selesai menjalankan tugasnya akan menjejaskan kerja-kerja kumpulan itu.

Malaysia merupakan negara ketiga dari lapan buah negara anggota kumpulan yang menarik diri berikutan keputusan Britain itu. Manakala dua buah negara terdahulu ialah Nigeria dan India.

Dengan penarikan Malaysia dari menjadi anggota kumpulan lapan Negara Komanwel pada hari ini dalam tahun 1971 hanya tinggal lagi lima buah negara yang mengekalkan keanggotaannya iaitu Australia, Britain, Kenya, Kanada dan Jamaica.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.