merdeka_stadium
Sejarah

Kerja-Kerja Pembinaan Stadium Merdeka Dimulakan

25 September 1956 – Kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan pada tahun 1956. Pembinaan stadium ini dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang tidak dapat digunakan lagi.

Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak 160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu.

Stadium Merdeka

Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957.

Pada 21 Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.

Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957 menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard