11 Januari 1972 – Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) telah ditubuhkan dengan rasminya pada tahun 1972 yang bermatlamat bagi membantu kerajaan memelihara dan mengekalkan keamanan di dalam negara serta sebagai benteng ketiga dalam sistem pertahanan negara. Peranan dan tanggungjawab ahli-ahli RELA adalah berlandaskan kepada Peraturan-peraturan perlu RELA 1974 dan Falsafah RELA yang telah digubal pada tahun 1978.
Di antara peranan ahli-ahli RELA ialah:
- Sebagai mata dan telinga kerajaan, iaitu menyampaikan maklumat-maklumat penting mengenai kegiatan anasir-anasir yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
- Sebagai benteng kepada keselamatan dan kesejahteraan kawasan masing-masing iaitu dengan mengadakan rondaan keselamatan, tugas-tugas kemasyarakatan dan sebagainya.
- Membantu apabila berlaku bencana alam seperti banjir, kebakaran, ribut dan lain-lain.
Penjenamaan Semula RELA
Pada 22 Jun 2012, RELA telah dijenamakan semula dengan pemansuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia dan ditukarkan kepada Pasukan Sukarelawan Malaysia berdasarkan Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) yang berteraskan konsep 5K 1P iaitu Keamanan, Keselamatan, Kesejahteraan, Kehamornian, Kesatuan dan Perpaduan.
Bermula pada 28 Ogos 2013, RELA telah dinaiktaraf menjadi sebuah Jabatan Persekutuan dan dikenali sebagai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) selepas diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri di Dataran Kompleks D, Putrajaya sempena Program Pelancaran Semarak Jalur Gemilang.
Sesungguhnya dengan penubuhan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia pada hari ini merupakan bukti yang nyata menunjukkan keazaman kerajaan bagi mengembeling tenaga rakyat daripada semua golongan untuk sama-sama secara sukarela memelihara keamanan, mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Sumber : Arkib Negara Malaysia