19 Januari 1962 – Dato’ Onn bin Jaafar meninggal dunia pada usia 67 tahun. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang besar kepada negara. Semasa hayatnya, Dato’ Onn bin Jaafar merupakan seorang pejuang kebangsaan dan tokoh politik terulung di Tanah Melayu.
Allahyarham berjaya meniup kesedaran kebangsaan di kalangan orang Melayu dan memimpin menentang Gagasan Malayan Union. Sumbangan terbesar Allahyarham yang terus dikenang sehingga ke hari ini ialah jasanya sebagai pengasas UMNO. Dato’ Onn bin Jaafar merupakan Presiden pertama UMNO apabila ditubuhkan dengan rasminya pada ll Mei 1946.
Dato’ Onn bin Jaafar dilahirkan pada tahun 1895 di Johor Bahru, sejak kecil lagi beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat baginda. Hasil daripada asuhan diraja, didikan Islam, serta pendidikan timur dan barat yang diterima maka tertanam suburlah dijiwanya perasaan berkeluarga, bermasyarakat, bernegara, cintakan tanahair dan bersemangat kebangsaan.
Berita pemergian abadi Allahyarham disambut dengan rasa sedih dan terharu oleh rakyat dan pemimpin negara. Sebagai mengenang segala jasa baktinya, Jenazah Allahyarham diberikan penghormatan negara dengan disembahyangkan di Masjid Abu Bakar, sebelum dibawa ke Istana Besar untuk penghormatan terakhir dan disemadikan di Perkuburan Diraja Mahmudiah.
Sumber : Arkib Negara Malaysia