kediaman_dato_kelana_sungai_ujong-800px
Sejarah

Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung

10 Februari 1878 – Masalah sempadan negeri Selangor dengan Sungai Ujong telah dirundingkan semenjak tahun 1963. Masalah ini berpunca apabila orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi. Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending yang bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu. Pada tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad.

Pada tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending dan terpaksa terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Tiga tahun kemudian masalah sempadan Selangor dengan Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri. Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan menyebabkan pertelingkahan terus berlarutan .

sultan_abdul_samad_selangor

Perjanjian Sempadan Selangor- Sungai Ujung Ditandatangani.

Akhirnya pada 10 Februari 1878, Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah menandatangani satu perjanjian sempadan Selangor dengan Sungai Ujung untuk menyelesaikan masalah yang telah berlarutan selama beberapa tahun itu.

Perjanjian di antara Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor dengan Dato’ Kelana Sungai Ujung, Tengku Saiyid Abdul Rahman antara lain menyatakan bahawa:-

  • Pertama: Dengan nasihat Kapten Bloomfield Douglas (Residen British di Selangor) Sultan Abdul Samad Yang Dipertuan Negeri Selangor bagi pihak dirinya, dan puteranya Raja Musa atau sesiapa juga penggantinya yang akan ditabalkan sebagai Sultan dan waris-warisnya, mulai saat itu mengaku bahawa kawasan Lukut yang pada masa itu diperintah olch Raja Bot dan semua kawasan tanah dalam Sungai Raya yang sekarang diperintah oleh Raja Daud, yang kesemuanya itu adalah di bawah kekuasaan Sultan Abdul Samad.
  • Kedua: Dengan nasihat Kapten Murray (Residen British di Sungai Ujung) Tengku Saiyid Abdul Rahman Dato’ Kelana Sungai Ujung bagi pihak dirinya, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya atau sesiapa juga yang memerintah Sungai Ujung dan bergelar Dato’ Kelana, mengaku bahawa mulai dari saat itu kawasan yang terletak di Seberang Tebing Sungai Langat bernama Rekoh dan semua tanah bernama Labu adalah diserahkan kepada Sultan Abdul Samad Selangor, pengganti-penggantinya dan waris-warisnya untuk selama-lamanya.

Dengan perjanjian ini pihak kerajaan Inggeris yang telah berjaya mencampuri urusan pemerintahan di Sungai Ujung dan hal ehwal Lukut.

Perjanjian itu telah dibantah oleh Raja Bot yang memerintah Lukut kerana beliau tidak diajak berunding mahupun diminta pendapatnya. Raja Bot membantah keras mengenai keputusan memasukkan Lukut dalam perintah Sungai Ujung kerana daerah itu adalah kepunyaan ayahandanya, Raja Jumaat.

Satu persetujuan juga telah dicapai dalam perjumpaan tersebut yang menetapkan kawasan-kawasan tanah dan wang sagu hati kepada Raja Bot apabila Lukut dimasukkan ke dalam perintah Sungai Ujung itu. Mengikut persetujuan itu Raja Bot dan keluarganya menerima wang sejumlah 27 ribu ringgit. Semenjak itu tamatlah pemerintahan Raja Bot dan ayahandanya Raja Jumaat yang telah menguasai Lukut selama 32 tahun.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Lexis_Hibiscus_Port_Dickson_800
Sejarah

Pengisytiharan Majlis Perbandaran Port Dickson

02 Februari 2002 – Pada tahun 2002, Port Dickson diisytiharkan dengan rasminya sebagai Majlis Perbandaran Port Dickson. Sebelum ini ia dikenali sebagai Majlis Daerah Port Dickson yang ditubuhkan pada 1 Disember 1979 dengan perbelanjaan permulaan sebanyak RM 2.1 juta.

Pengisytiharan Majlis Perbandaran Port Dickson disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pada 3 Februari di Dataran Teluk Kemang.

Bendera Dan Bunga Rasmi

Majlis Perbandaran Port Dickson mempunyai bendera dan bunga rasminya sendiri.
Antara makna dan penerangan bendera dan bunga rasmi tersebut :

bendera_mppd

Warna Putih : melambangkan kesucian dan menggambarkan kejujuran serta sikap amanah setiap golongan pekerja Majlis Perbandaran bagi memberikan perkhidmatan yang bersih dan cekap

Warna Maroon : Memberikan ketenangan dan Melambangkan perpaduan bangsa serta kegigihan setiap Individu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik Untuk masyarakat setempat.

bunga_tanjung

Bunga tanjung dipilih sebagai bunga rasmi Port Dickson sejajar dengan sejarah tempat tersebut dimana sebelum Port Dickson dibangunkan dan dimajukan ianya dikenali dengan nama Tanjung oleh orang Melayu tempatan kerana kedudukannya di teluk kecil.

Majlis Perbandaran Port Dickson mempunyai kawasan seluas 140.32 km persegi yang terdiri daripada Mukin Jimah, Port Dickson, Si Rusa, Pasir Panjang dan Mukim Linggi. Kawasan ini dibahagikan kepada dua iaitu kawasan operasi seluas 35.87 km persegi dan kawasan kawalan seluas 104.45 km persegi.

Sepanjang pantai Port Dickson memaparkan ciri perbandaran peranginan tepi pantai yang serba moden, kawasan pendalamannya pula menggabungkan adunan aktiviti pertanian, perdagangan dan perindustrian.

Port-Dickson-lighthouse

Selain daripada pantai-pantainya yang terkenal Majlis Perbandaran Port Dickson juga meliputi beberapa bandar dan pekan yang terdiri daripada Port Dickson, Teluk Kemang, Pasir Panjang, Pengkalan Kempas, Linggi, Lukut, Chuah, Sungai Nipah dan Bukit Pelanduk.

Kenaikan taraf Port Dickson ini juga menjadikan Negeri Sembilan mempunyai tiga Majlis Perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai.

Sumber : Arkib Negara Malaysia, Majlis Perbandaran Port Dickson

Standard
kediaman_dato_kelana_sungai_ujong-800px
Sejarah

Rundingan Pertelingkahan Sempadan Selangor Dengan Sungai Ujong

24 November 1863 – Pada tahun 1863, Raja Abdullah dan Dato’ Kelana Sending telah berunding mengenai pertelingkahan sempadan Selangor dan Sungai Ujong. Turut hadir dalam perundingan itu ialah Residen Melaka, Kapten Playfair, yang bersahabat baik dengan Dato’ Kelana Sending.

Masalah sempadan di antara negeri Selangor dengan Sungai Ujong berpunca bila orang-orang Bugis mulai bertapak dan berpengaruh di Selangor di awal abad ke-18. Kedudukan Sungai Sepang pada asalnya adalah di dalam Negeri Sembilan tetapi telah menjadi wilayah Selangor semasa orang-orang Bugis memperluaskan kuasa hingga ke Sungai Linggi.

Sungai Linggi merupakan kawasan Dato’ Kelana Sending. Beliau bertanggungjawab terhadap kutipan hasil cukai bijih di kawasan itu.

Dalam tahun 1862, Dato’ Kelana Sending telah menyampaikan bantahannya kepada Sultan Abdul Samad kerana negeri Selangor mengambil Sungai Linggi dan Tanjung Tuan. Ekoran daripada ini maka pada hari ini dalam tahun 1863, Raja Abdullah sebagai wakil negeri Selangor telah berunding dengan Dato’ Kelana Sending untuk menyelesaikan pertelingkahan sempadan tersebut.

Dalam rundingan itu Raja Abdullah dengan berat hati terpaksa menyerahkan kawasan Lukut dan Sungai Linggi kepada Sungai Ujong secara lisan. Sungguhpun begitu pembesar-pembesar negeri Selangor masih terus memerintah Lukut dan Sungai Linggi.

Tiga tahun kemudian, iaitu dalam tahun 1866, masalah sempadan negeri Selangor – Sungai Ujong timbul semula. Akhirnya pada 11 Julai 1868, Sultan Abdul Samad secara bertulis menyerahkan Sungai Linggi kepada Dato’ Kelana Sending sebagai batas sempadan kedua-dua negeri.

Keputusan ini telah ditentang oleh pembesar-pembesar Kelang dan Lukut dan akhirnya pertelingkahan terus berlarutan.

Sehingga beberapa tahun bertelingkah akhirnya Residen Selangor, B. Douglas, Residen Sungai Ujong P.J. Murray, Sultan Abdul Samad dan Dato’ Kelana telah dapat menyelesaikan masalah sempadan kedua-dua negeri itu melalui satu perjanjian pada tahun 1878.

Dengan termeterainya perjanjian itu sempadan negeri Selangor dan Sungai Ujong ditetapkan di Sungai Sepang hinggalah ke hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard