H. I. D. S. – Perletakan Batu Asas Stadium Merdeka

batu_asas_stadium_merdeka15 Februari 1957 – Pada hari ini dalam tahun 1957, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, telah menyempurnakan peletakan batu asas Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Pembinaan Stadium ini adalah sebagai persiapan menyambut kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Kerja-kerja pembinaannya yang diselenggarakan oleh pihak jabatan Kerja Raya dimulakan sejak September 1956 dan siap pada 21 Ogos 1957. Stadium ini mempunyai kemudahan dan kelengkapan sukan yang setanding dengan stadium-stadium antarabangsa di negara-negara lain pada ketika itu.

Stadium Merdeka dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957. Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman pada 30 Ogos 1957 dan mula digunakan untuk satu upacara yang bersejarah dalam sejarah tanahair, iaitu pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sesungguhnya pembinaan stadium ini adalah merupakan satu kemajuan ke arah perkembangan dan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen