Perjanjian Tambahan Perak – Belanda

03 Jun 1759 – Pada hari ini dalam tahun 1759, satu perjanjian tambahan mengenai perdagangan telah ditandatangani di Kota Lumut di antara Sultan Perak yang ke 15, Sultan Sri Iskandar Zulkarnain dengan Syarikat Hindia Timur Belanda yang diwakili oleh Kapten Jansz Visboom.

Perjanjian ini merupakan tambahan 2 fasal baru kepada perjanjian asal yang telah ditandatangani pada 13 Mac 1753, di antara Sultan Sri Iskandar Zulkarnain dengan Thomas Schippers, seorang saudagar yang juga merupakan Pesuruhjaya Syarikat Hindia Timur Belanda. Dua fasal baru yang telah dikemukakan adalah seperti berikut:

  • Fasal 1 – Sultan Perak serta semua pembekal dan saudagar bijih timah akan menghantar bekalan mereka ke Kubu Belanda untuk ditimbang dengan menggunakan alat penimbang dan alat pengukur syarikat.
  • Fasal 2 – adalah Fasal tambahan kepada artikel 6 dalam perjanjian asal di mana Sultan diminta supaya membenarkan kapal kepunyaan baginda diperiksa oleh Belanda bagi mengelakkan penyeludupan. Jika sekiranya dijumpai bijih timah di dalamnya, tanpa persetujuan pihak Belanda, bijih timah itu akan dirampas tetapi kapal baginda dikembalikan.

Perjanjian tambahan ini menyelesaikan perselisihan faham di antara Sultan Perak dan Gabenor Belanda di Melaka yang terjadi selepas perjanjian pada tahun 1753.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen