H. I. D. S. – Perjanjian Persahabatan Diantara Negeri Perlis Dengan Britain

28 April 1930 – Pada hari ini dalam tahun 1930, satu perjanjian persahabatan diantara Perlis dengan Britain telah ditandatangani. Pihak Inggeris telah diwakili oleh Sir Cecil Clementi, Gabenor-gabenor Negeri-Negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu manakala bagi pihak kerajaan Perlis ditandatangani oleh Yang Maha Mulia Tuanku Syed Alwi, Raja Negeri Perlis.

Perjanjian persahabatan ini adalah untuk merapatkan perhubungan diantara kerajaan Britain dengan Kerajaan Perlis dan menjelaskan kedudukan negeri Perlis berikutan dari keputusan Perjanjian Bangkok dalam tahun 1909 dimana daerah Perlis dipisahkan dari Kedah dan diletakkan di bawah pengaruh Inggeris oleh Siam.

Butir-butir perjanjian ialah:

  • Perlis diletakkan dibawah naungan kerajaan negeri
  • perhubungan politik dan hal ehwal luar Perlis dijalankan hanya melalui wakil kerajaan inggeris
  • Kerajaan Inggeris tidak berhak mempersekutukannya dengan negeri-negeri lain tanpa perintah rasmi Raja Perlis setelah mengadakan mesyuarat
  • takhta kerajaan Perlis hanya boleh diwarisi oleh keturunan baginda dan jika tidak ada pengganti, bakal raja akan dipilih oleh Majlis Mesyuarat Negeri dari keturunan pertalian darah serta dipersetujui oleh Raja Inggeris
  • Raja Perlis bersetuju menerima seorang Penasihat Inggeris bagi menasihati pentadbiran kerajaan Perlis dalam semua urusan kecuali adat dan agama Islam. Walaubagaimanapun baginda berhak membuat perhubungan terus dengan pesuruhjaya Tinggi atau Raja Inggeris
  • Raja Perlis memerintah dengan bantuan Majlis Mesyuarat Negeri yang mengandungi empat orang ahli, tiga melayu dan seorang Penasihat Inggeris.
  • Raja Perlis memerintah dengan bantuan Majlis Mesyuarat Negeri yang mengandungi empat orang ahli, tiga melayu dan seorang penasihat Inggeris. Mereka dipilih oleh baginda dan dipersetujui oleh Pesuruhjaya Tinggi.
  • Pegawai-pegawai kerajaan Perlis hanya dipilih dari orang Melayu Perlis kecuali bagi sesuatu kerja yang memerlukan perkhidmatan orang luar.
  • Bahasa Melayu dan tulisan Jawi menjadi bahasa dan tulisan rasmi dalam segala urusan kerajaan

Sesungguhnya, perjanjian persahabatan diantara Inggeris dengan negeri Perlis yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1930, memberi erti yang besar kepada sejarah negeri Perlis. Perjanjian ini menjelaskan lagi kedudukan negeri Perlis sebagai sebuah negeri berasingan dari negeri Kedah dan merintis jalan ke arah pembentukan berkerajaan sendiri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen