H. I. D. S. – Perjanjian Perak-Kedah

04 Mac 1912– Pada hari ini dalam tahun 1912, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Perjanjian tersebut adalah mengenai sempadan antara Kedah-Perak iaitu di Daerah Baling dan Tasek dan pembinaan sebatang jalan raya dari Baling ke Padang Serai di Negeri Kedah.

Persetujuan-persetujuan yang dicapai di dalam perjanjian tersebut adalah seperti berikut:

  • Sultan Perak bersetuju membina sebatang jalan raya kelas satu dari Baling hingga ke Kuala Ketil sepanjang 22 batu. jalan yang akan dibina ini akan menyambungkan Klian Intan di Hulu Perak dengan Baling hingga ke Kuala Ketil. Pembinaan jalan sepanjang 22 batu ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Perak. Sebagai balasannya, Kerajaan Negeri Kedah pula bersetuju akan mengawasi jalan tersebut selepas ianya diserahkan kepada Kerajaan Negeri Kedah, seperti juga ia mengawasi jalan- jalan kelas satu di Negeri Kedah.
  • Kerajaan Negeri Kedah juga bersetuju akan menyambung pembinaan jalan tersebut dari Kuala Ketil ke Padang Serai sejauh 12 batu dan Kedah juga akan mengawasi jalan tersebut seperti juga ia mengawasi jalan-jalan kelas satu yang lain di Kedah.
  • Kerajaan Kedah akan menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Perak semua kawasan di Baling dan kawasan Goa Baling ke atas kepada Kerajaan Perak supaya pada masa hadapan sempadan antara Kedah dan Perak di kawasan Hulu Perak ditandai dengan kawasan bukit dalam daerah tersebut.

Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Sultan Perak, Sultan Idris Ibni Almarhum Sultan Iskandar di hadapan Pemangku Residen British di Perak, Oliver Marks dan Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid menandatangani bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah dengan disaksikan oleh Encik Md. Ariffin, Setiausaha kepada Baginda Sultan Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen