H. I. D. S. – Perjanjian Inggeris-Trengganu 1919

24 Mei 1919 – Pada hari ini dalam tahun 1919, satu perjanjian telah ditandatangani di antara Sir Arthur Henderson Young iaitu Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu bagi pihak kerajaan British dengan Baginda Sultan Trengganu, Sultan Muhammad Zainal Abidin.

Perjanjian ini bertujuan untuk membatalkan Perkara Kedua dalam Perjan Sjrian 22hb April, 1910 yang ditandatangani oleh Sultan Muhammad dan 1 John Anderson. Perkara Kedua ini menetapkan “…… bahawa Kerajaan Great Britain hanya ingin meletakkan seorang Pegawai British di Trengganu sebagai seorang Agen yang berfungsi sama seperti Pegawai Konsular. Baginda Sultan Trengganu hendaklah menerima Pegawai ini dan menyediakan dengan percuma suatu tempat di mana akan dibina rumah kediaman Pegawai seperti ini. ”

Dalam perjanjian yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1919, kedua-kedua pihak bersetuju membatalkan Perkara Kedua tersebut dan menggantikannya dengan perkara-perkara berikut:

  • PERTAMA- Duli Yang Maha Mulia Sultan Trengganu akan menerima dan menyediakan tempat kediaman yang sesuai untuk seorang Pegawai British yang akan dipanggil sebagai Penasihat British dan yang akan tinggal di Negeri Trengganu, dan nasihatnya hendaklah diminta dan dilaksanakan mengenai semua perkara yang berkaitan dengan pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal yang bersangkutan dengan Agama Islam;
  • KEDUA- Perbelanjaan bagi perjawatan Penasihat British ini akan ditentukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British dan dibayar dari wang hasil mahsul Negeri Trengganu;
  • KETIGA- Pungutan dan pembayaran semua hasil negeri itu hendaklah diselenggarakan mengikut nasihat Penasihat British itu.

Perjanjian ini ditandatangani di Singapura dengan disaksikan oleh H. Marriot dan J. L. Humphreys bagi pihak Kerajaan British, manakala saksi bagi pihak Sultan Mahammad ialah Omar bin Abdul Rahman (Tengku Ngah), Abu Bakar bin Abdul Rahman (Tuan Embong), Ahmad bin Abdul Rahman (Tengku Chik) dan Muhammad bin Yusop (Haji Ngah).

Ekoran dari perjanjian ini J. L. Humphreys telah dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Trengganu. Dengan perlantikan ini pentadbiran Negeri Trengganu telah berubah corak dan Sultan terpaksa menerima dan mengikut kehendak Penasihat British itu. Keadaan ini secara langsung telah menggugat kuasa-kuasa Baginda di dalam pentadbiran negeri. Akhirnya Baginda telah mengundur diri. Baginda digantikan oleh Tengku Muda Sulaiman yang menjadi Sultan pada bulan Mei, 1920.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen