Perjanjian ‘Hutang Darah’ Pendudukan Tentera Jepun Ditandatangani

21 September 1967 – Pada hari ini dalam tahun 1967, Malaysia dan Jepun telah menandatangani Perjanjian Bayaran Muhibah bagi melunaskan ‘Hutang Darah’ semasa Pendudukan Tentera Jepun di Tanah Melayu (1941-1945). Upacara itu telah diadakan di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri, YTM Tengku Abdul Rahman Putera dan Tuan T. Kojima, Duta Jepun di Malaysia.

Perjanjian ini adalah hasil dari perbincangan awal di antara YTM Tengku Perdana Menteri dengan Perdana Menteri Jepun, Tuan Eiko Sato iaitu dalam rangka kerjasama ekonomi yang diadakan di Tokyo pada bulan Mei tahun 1967. Mengikut perjanjian yang ditandatangani itu Kerajaan Jepun akan menghadiahkan Malaysia dua buah kapal.

YTM Tunku menganggap perjanjian ini adalah penting dalam usaha untuk menubuhkan syarikat perkapalan sendiri. Beliau menegaskan bahawa sudah sampai masanya Malaysia perlu mempunyai sebuah syarikat perkapalannya sendiri. Tunku menyatakan kerajaan akan membukakan saham kepada para hartawan di Malaysia untuk membolehkan pembelian kapal-kapal laut yang lebih banyak lagi. Segala bantuan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Jepun dalam perjanjian ini akan dikuatkuasakan mulai dari hari ini dalam tahun 1967 dan hendaklah diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.

Duta Jepun ke Malaysia, Tuan T. Kojima dalam ucapannya setelah selesai menandatangani perjanjian itu berharap bahawa kapal yang diberikan oleh kerajaan Jepun itu akan dapat membantu Malaysia dalam menubuhkan Syarikat Perkapalan Kebangsaannya sendiri.

Bermula dari perjanjian ini dan diikuti dengan usaha-usaha yang gigih Malaysia kini telah berjaya mendirikan sebuah syarikat perkapalan kebangsaannya sendiri yang dikenali sebagai Malaysia International Shipping Corporation Berhad atau ringkasnya MISC yang bergerak sebagai sebuah syarikat swasta.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen