H. I. D. S. – Perjanjian Brunei-Sarawak Mengenai Sungai Dan Daerah Pandaruan

21 Mei 1912 – Pada hari ini dalam tahun 1912 satu perjanjian telah ditandatangani di antara Negeri Brunei dan Negeri Sarawak untuk menjelaskan kedudukan Sungai dan Daerah Pandaruan yang dahulunya telah dipajakkan kepada Alfred Hart Everett oleh Pengiran Muda Damit Mohamed Tajudin anakanda kepada Pengiran Muda Hashim yang kemudian dipindah pajak kepada Sir Charles Brooke, Raja Sarawak pada 25hb Ogos, 1885.

Perjanjian ini menjelaskan perkara-perkara berikut:

  1. Hak-hak kedaulatan Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan adalah diakui;
  2. Kesemua cukai eksport yang dikenakan dan dikutip oleh Kerajaan Brunei di Daerah Pandaruan akan dibahagi dua, satu bahagian akan dibayar kepada Residen Limbang empat kali setahun;
  3. Kesemua cukai import di Daerah ‘Pandaruan akan dikutip oleh Kerajaan Brunei dan dimasukkan ke dalam Hasil Mahsul Kerajaan Brunei.,
  4. Kerajaan Sarawak berhak mengutip cukai kepala (poll tax) iaitu cukai yang dikenakan ke atas setiap orang di Daerah Pandaruan;
  5. Kerajaan Sarawak boleh meletakkan seorang pekedai Cina di Daerah Pandaruan untuk mengutip bayaran dalam Daerah ini, dan
  6. Kerajaan Sarawak akan bertanggungjawab ke atas orang-orang Dayak yang tinggal di Daerah Pandaruan dalam masa setahun dari ‘tarikh (Perjanjian ditandatangani) ini supaya perkara mengenai di mana mereka harus tinggal dapat dibincangkan.

Perjanjian ini dibuat di Labuan dan ditandatangani oleh Harvey Chevallier. Residen British di Brunei bagi pihak Kerajaan Brunei, sementara R. S. Dougles, Pemangku Residen Bahagian Kelima Sarawak, dan H Halil, Native Officer, Limbang, menandatangani bagi pihak Kerajaan Sarawak.

Bagaimanapun, perjanjian ini telah dibatalkan 8 tahun kemudian. Satu perjanjian baru telah dibuat pada 4hb Februari, 1920.2 Dalam perjanjian ini kedua-dua Kerajaan bersetuju:

  1. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Barat (Limbang) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Sarawak.
  2. Semua tanah dan segala hak dalam apa bentuk juapun di sebelah tebing Timur (Temburong) Pandaruan akan menjadi kepunyaan dan hakmilik Kerajaan Brunei;
  3. Tidak ada satu apapun di dalam perjanjian ini yang akan mengakibatkan hak-hak yang telah diberikan kepada Sir Charles Brooke, G. C. M. G. untuk mencari dan mendapatkan batu arang di Negeri Brunei;.
  4. Prinsip umum yang termaktub dalam seksyen-seksyen 1 dan 2 di atas tidak boleh diubah tanpa restu Tuan Yang Terutama Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-negeri Melayu dan Brunei di satu pihak dan Yang Maha Mulia Raja Sarawak di satu pihak yang lain.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen