Perasmian Stadium Negara

stadium_negara19 April 1962 – Pada hari ini dalam tahun 1962, Stadium Negara telah dibuka dengan rasminya oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Putra Ibni AI-marhum Hassan Jamalullail. Stadium Negara merupakan stadium tertutup pertama dibina di negara ini dan terletak bersebelahan dengan Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Stadium Negara merupakan sebuah gelanggang tertutup serta melambangkan kegiatan sukan dan kebudayaan di negara ini. Kos pembinaan stadium tersebut menelan belanja lebih RM 34 juta dan dianggap sebagai sebuah stadium tertutup yang terbaik di Asia Tenggara pada ketika itu. Ia bukan sahaja boleh menunjukkan satu contoh kejuruteraan asli yang tidak ada tolok bandingnya tetapi juga menambahkan lagi rekabentuk senibina moden di negara ini.

Selepas pembinaan Stadium Merdeka, negara memerlukan sebuah stadium tertutup seperti Stadium Negara. Stadium Negara telah dibina khas bagi permainan-permainan dalaman dan amat sesuai sebagai tempat untuk mengadakan pertunjukan kebudayaan.

Sesungguhnya Stadium Negara telah digunakan untuk perlawanan pelbagai jenis sukan, tempat pameran dan juga temasya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen