H.I.D.S – Pembentukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

Persembahan slaid ini memerlukan JavaScript.

01 Julai 1896 – Pada hari ini dalam tahun 1896, Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menjadi Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.  Pembentukan pasukan ini adalah ekoran dari penyatuan Negeri-Negeri Melayu tersebut di bawah kuasa pentadbiran Kolonial Inggeris, yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Kapten H.C.Syers telah dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, bagi tujuan mengendalikan tugas-tugas pasukan ini.  Sebelum menjawat jawatan ini, Kapten Syers  adalah Ketua Polis bagi negeri Selangor yang bergelar ‘Captain Suprintendent’. Tempat beliau telah digantikan oleh Ketua Polis negeri Perak bernama  Christian Wagner.

Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu yang baru dibentuk ini terdiri dari pegawai-pegawai British, orang-orang Sikh dan orang-orang Melayu.  Pasukan ini mempunyai pakaian seragamnya sendiri berwarna biru dari jenis kain benang bulu dengan bintang dan lencana yang berbeza mengikut negeri-negeri.

Pembentukan Pasukan Polis Negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan menjadi Pasukan Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada tahun ini, sesungguhnya merupakan satu langkah yang bijak bagi Inggeris untuk memastikan keamanan wujud di negeri-negeri Melayu yang dijajahnya.  Cara ini membolehkan pihak Inggeris menjalankan pentadbirannya dengan lebih licin dan berkesan lagi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen