H. I. D. S. – P. Ramlee Meninggal Dunia

P_ramlee29 Mei 1973 – Pada hari ini dalam tahun1973, Seniman Agung P. Ramlee berusia 45 tahun telah meninggal dunia secara mengejut. Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi isterinya, Salmah Ismail (Saloma) di Hospital Besar Kuala Lumpur kira-kira pukul 5.30 pagi.

Allahyarham P.Ramlee yang telah menceburkan diri dalam lapangan perfileman hampir suku abad telah banyak melahirkan “bintang-bintang” filem yang terkenal. Sejarah perjuangannya adalah sejarah perkembangan perfileman Melayu sendiri. Allahyarham terkenal sebagai penyanyi, penggubah lagu, penulis skrip, pelakon dan juga pengarah filem. Semasa hayatnya Allahyarham P.Ramlee telah berlakon dalam lebih 200 filem, mengarah lebih 40 buah filem dan telah menggubah lebih 1,000 lagu yang menjadi kesukaan ramai.

Allahyarham mula menceburkan diri dalam dunia perfileman pada tahun 1948. Ketika itu Allahyarham hanya menjadi pelakon tambahan dan penyanyi suara latar filem sahaja. Hanya pada tahun 1951 Allahyarham telah dipilih menjadi pelakon utama dalam filem Takdir Ilahi. Pada tahun 1953, Allahyarham telah mengarah filem sulungnya iaitu ‘Penarik Beca’.

Sesungguhnya Allahyarham P.Ramlee telah meninggalkan jasa baktinya dalam sejarah perkembangan filem di negara ini. Pemimpin-pemimpin negara, rakan seperjuangannya serta peminatnya menganggap pemergian Allahyarham satu kehilangan tokoh kebudayaan Melayu, yang agung dan sukar dicari ganti.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen