H.I.D.S. – Linggi Dan Rembau Diambil Alih Oleh Belanda

12 Disember 1756 – Pada hari ini dalam tahun 1756, Belanda telah menguasai Linggi dan Rembau. Surat penguasaan Rembau dan Linggi telah ditandatangani oleh Sultan Sulaiman, Tun Dalam dan Temenggong Abdul Majid dengan pihak Belanda di Melaka.

Penguasaan Linggi dan Rembau oleh Belanda adalah hasil tindakan Sultan Sulaiman untuk melemahkan kedudukan orang-orang Bugis yang berpengaruh di daerah tersebut. Sultan Sulaiman menghadapi banyak masalah di dalam hubungannya dengan orang-orang Bugis akibat keputusannya untuk berbaik-baik dengan Belanda. Baginda juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kuasa dan pemerintahan baginda dari Daing Kemboja, Raja Alang di Batu Bara, Raja Tua Kelang dan dari Sultan Salehuddin, Selangor.

Di samping itu Sultan Sulaiman juga boleh mendapatkan kembali alat-alat kebesaran Diraja Johor dari Daing Kemboja. Daing Kemboja enggan menyerahkan alat-alat kebesaran tersebut dan membuat aduan kepada Gabenor Belanda di Melaka bahawa beliau telah difitnahkan oleh Sultan Sulaiman. Daing Kemboja juga melaporkan bahawa kapal-kapal Belanda di Linggi telah diusir keluar.

Gabenor Belanda di Melaka telah memberitahu Daing Kemboja supaya menumpukan taat setianya kepada Sultan Sulaiman. Dalam pada itu orang-orang Bugis telah membakar banyak rumah-rumah di Melaka. Untuk menentang ancaman orang-orang Bugis ini, tentera Belanda telah menyerang Linggi dan mengusir orang-orang Bugis.

Berikutan dengan serangan tentera Belanda itu, orang-orang Bugis bersama sekutunya dari Rembau telah menyerang dan mengusir orang-orang Belanda dari Kelebang di Melaka. Walau bagaimanapun pemerintahan Belanda di Melaka enggan mengalah kepada orang-orang Bugis dan tetap mengakui Sultan Sulaiman sebagai Sultan Johor-Riau yang berkuasa di daerah-daerah jajahannya.

Penentangan orang-orang Bugis terus berlaku dan berlarutan sehingga setahun kemudian barulah Daing Kemboja dan pengikut-pengikutnya di Linggi dan Rembau dapat diusir dan dipecahkan. Sultan Sulaiman merasakan walaupun penentangan orang-orang Bugis dari daerah-daerah tersebut telah dapat dipatahkan tetapi orang-orang Bugis masih mempunyai pengaruh yang besar.

Untuk menjamin keamanan dan untuk melemahkan kedudukan orang-orang Bugis seterusnya, maka pada hari ini Sultan Sulaiman telah bersetuju supaya pentadbiran Linggi dan Rembau diambil alih oleh Belanda.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen