H.I.D.S – Kuantan Di Isytihar Sebagai Ibu Negeri Pahang

Pahang_state_mosque
Masjid Negeri Pahang (Wikipedia)

28 August 1955 – Pada hari ini dalam tahun 1955, Kuantan telah diisytiharkan sebagai ibu negeri Pahang. Perayaan ini dimulakan dengan upacara perbarisan khas di Padang Besar Kuantan. Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muazam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mus’tain Billah telah berkenan mencemar duli bagi upacara tabik hormat anggota-anggota perbarisan yang terdiri daripada anggota Batalion Ke-6 Regimen Melayu dan anggota pasukan polis. Ini diikuti dengan penerbangan lintas hormat oleh Twin Jet, Pasukan Tentera Udara Australia.

Beribu-ribu orang penduduk di Pahang serta pelawat-pelawat asing telah keluar untuk menyaksikan perbarisan kereta berhias yang merupakan acara kemuncak pada malam tersebut. Satu pertunjukan kebudayaan dan seni mempertahankan diri telah diadakan di bandar Kuantan.

Sempena dengan perayaan pengisytiharan Kuantan sebagai ibu negeri Pahang, Sultan Pahang juga telah berkenan merasmikan pembukaan bangunan pejabat-pejabat kerajaan. Dalam ucapan perasmiannya, baginda telah melahirkan rasa kesyukuran di atas kejayaan memindahkan ibu negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan.

Menurut baginda, kejayaan ini telah membawa erti yang besar kerana usul ini mengambil masa selama 44 tahun untuk ia menjadi kenyataan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Tinggalkan Komen