Kuantan_Municipal_Council-800px

Pengisytiharan Kuantan Sebagai Ibu Negeri Pahang

28 Ogos 1955 – Pengisytiharan Kuantan sebagai Ibu Negeri Pahang telah diadakan pada tahun 1955. Pengisytiharan ini dimulakan dengan upacara perbarisan khas di Padang Besar Kuantan.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah Shah telah berkenan mencemar duli bagi upacara tabik hormat anggota-anggota perbarisan yang terdiri daripada anggota Batalion Ke-6 Rejimen Melayu dan anggota pasukan polis.

Ini diikuti dengan penerbangan lintas hormat oleh Twin Jet, Pasukan Tentera Udara Australia.

Beribu-ribu orang penduduk di Pahang serta pelawat-pelawat asing telah keluar untuk menyaksikan perbarisan kereta berhias yang merupakan acara kemuncak pada malam tersebut.

Satu pertunjukan kebudayaan dan seni mempertahankan diri telah diadakan di bandar Kuantan.

Pahang_state_mosque
Masjid Negeri Pahang (Wikipedia)

Sempena dengan perayaan pengisytiharan Kuantan sebagai ibu negeri Pahang, Sultan Pahang juga telah berkenan merasmikan pembukaan bangunan pejabat-pejabat kerajaan.

Dalam ucapan perasmiannya, baginda telah melahirkan rasa kesyukuran di atas kejayaan memindahkan ibu negeri Pahang dari Kuala Lipis ke Kuantan.

Menurut baginda, kejayaan ini telah membawa erti yang besar kerana usul ini mengambil masa selama 44 tahun untuk ia menjadi kenyataan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen