19 Jun 1785 – Pada tahun 1785, David Ruhde telah menjawat jawatan Residen Belanda yang pertama di Riau lalu menubuhkan pejabatnya di Pulau Bayan, Tanjung Pinang. Buat dua tahun yang pertama selepas beliau menjawat jawatan itu soal-soal pentadbiran Riau masih lagi di tangan Sultan Mahmud, Johor.
Pentadbiran Riau diserahkan sepenuhnya kepada David Ruhde hanya setelah Sultan Mahmud menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) pada 7hb Februari, 1787, di Melaka.
Antara lain syarat-syarat perjanjian tersebut adalah seperti berikut:
- Sultan Mahmud hendaklah menyerahkan segala pentadbiran pemerintahan di Riau itu kepada Kompeni Belanda;
- Sultan Mahmud dibebaskan dari jagaan Raja Tua, Raja Bendahara, Raja Temenggung dan Raja Indrabongsu, dan hanya akan berunding dengan mereka mengenal soal-soal negara yang penting, kecuali hal ehwal istana, tetapi hanya boleh dilakukan setelah berunding dengan Residen Belanda;
- Sultan dan pembesar berhak menerima 1/3 dari hasil pendapatan Riau dalam masa 3 tahun atau lebih yang pertama;
- Perselisihan di antara orang-orang Cina dan orang-orang asing yang lainnya dengan penduduk-penduduk Riau akan diputuskan oleh Residen, kecuali yang melibatkan di antara orang-orang Melayu dan Bugis sahaja diputuskan oleh Sultan, dan hukuman bunuh ke atas sesiapa pun hendaklah diputuskan oleh Residen;
- Kesemua pedagang-pedagang yang datang ke Riau dikehendaki membayar cukai lima peratus mengikut taksiran harga barang (ad volerem) ke atas barang-barang import dan eksport yang tidak dikecualikan dari cukai. Syarikat Hindia Timur Belanda juga dikehendaki membayar cukai import kecuali candu, bijih timah dan lada hitam.
Sumber : Arkib Negara Malaysia