Sejarah

Penemuan Makam Sultan Tengah Sultan Sarawak Pertama

11 Mac 1993 – Pada tahun 1993, Kerajaan Sarawak mengisytiharkan penemuan sebuah makam tua di sebuah kawasan hutan berdekatan dengan simpang Jalan Damai, Santubong, Kuching. Makam tersebut merupakan makam Sultan Tengah Sultan Sarawak yang pertama dan terakhir.

sultan_tengah

Mengikut kajian ahli sejarah, makam tersebut dianggarkan berusia lebih 363 tahun serta dipercayai milik Pengiran Muda Tengah Ibnu Sultan Muhamad (anak kedua Sultan Brunei ke-9, iaitu Sultan Muhamad Hassan). Pengiran Muda Tengah sering bertukar nama atau gelaran seperti gelaran Sultan Ibrahim Ali Omar Shah dan Sultan Abdul Jalil.

Kemangkatan baginda berpunca daripada perbuatan hulubalangnya sendiri yang telah bertindak menikam baginda dengan menggunakan tombak sewaktu baginda berehat di Batu Buaya, Pantai Santubong.

makam_sultan_tengah

Ringkasan Sejarah Sultan Tengah

Ketika Sultan Muhammad Hassan, Sultan Brunei kesembilan yang memerintah dari tahun 1582-1598 meninggal Dunia, takhta itu diwarisi oleh putera sulungnya, Sultan Abdul Jalilul Akbar. Sultan Abdul Jalilul Akbar mempunyai adik bernama Pengiran Muda Tengah Ibrahim Ali Omar Shah atau yang lebih dikenali sebagai Raja Tengah. Sultan Tengah atau Pengiran Muda Tengah ingin menjadi Sultan Brunei dan berpendapat beliaulah yang lebih sesuai untuk menjadi Sultan. Untuk mengatasi masalah ini, Sultan Abdul Jalilul Akbar melantik Pengiran Muda Tengah sebagai Sultan Sarawak, memandangkan Sarawak adalah di bawah pemerintahan Brunei.

Pengiran Muda Tengah menerima pelantikan tersebut dan membuat persiapan untuk pergi ke Sarawak. Pemergian beliau ke Sarawak ditemani lebih daripada 1,000 askar dari suku Sakai, Kedayan dan Bunut. Beberapa orang pembesar istana juga pergi bersamanya untuk membantu membentuk negara baru.

Pembukaan Bandar Kuching

Setibanya Sultan Tengah dan pengikutnya di Sarawak, mereka mula membina sebuah istana dan benteng untuk mengelilingi istana di kawasan yang dikenali sebagai Kuching pada masa ini. Sultan Tengah kemudiannya melantik pembesar dan menyusun pentadbirannya. Di antara mereka adalah petinggi Datu Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Setia Diraja dan Datuk Temenggong Laila Wangsa. Setelah semuanya selesai, Sultan Tengah menggunakan gelaran Sultan Ibrahim Ali Omar Shah, Sultan pertama Sarawak. Menurut Sejarah Sambas, Sultan Tengah juga dikenali sebagai Sultan Abdul Jalil.

Sekitar tahun 1599, Sultan Tengah melawat Pahang dan kemudian sebahagian daripada Kerajaan Johor. Sewaktu di Kesultanan Johor ini terjadi salah faham di antara Sultan Tengah dengan Sultan Abdul Jalil sehinggakan Sultan Tengah dan rombongannya terpaksa pulang dengan tergesa-gesa ke Sarawak sedangkan pada masa itu cuaca tidak baik untuk melakukan pelayaran.

Pelayaran Terkandas Di Sukanda

Semasa dalam pelayaran kembali ke Sarawak, kapal Sultan Tengah dilanda ribut yang menyebabkan kapalnya terkandas di Sukadana. Kebetulan pada masa itu Sultan di Kesultanan Sukadana, Sultan Muhammad Shafiuddin (Digiri Mustika) baru saja menerima utusan Sultan Makkah (Amir Makkah), Shekh Shamsuddin. Sultan Tengah dan rombongannya disambut dengan baik oleh Baginda Sultan Muhammad Shafiuddin (Digiri Mustika). Sultan Sukanda menggunakan nama Digiri Mustika sebelum memeluk islam dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Saifuddin setelah memeluk Islam yang dibantu oleh Syeikh Syamsuddin dari Mekah. Sultan Tengah juga belajar di bawah Syeikh Syamsuddin selama tinggal di sana.

Setelah beberapa lama menetap di Sukanda, Sultan Tengah dijodohkan dengan adik Sultan Muhammad Shafiuddin, Puteri Surya Kesuma. Setelah berkahwin, Sultan Tengah memutuskan untuk menetap sementara di Kesultanan Sukadana sambil menunggu situasi aman di sekitar Selat Melaka. Hasil perkahwinan tersebut Baginda dikurniakan seorang putera yang diberikan nama Sulaiman.

Berpindah Ke Sambas

Setelah sekitar 7 tahun menetap di Kesultanan Sukadana dan situasi di sekitar Selat Melaka masih belum aman, Sultan Tengah memutuskan untuk berpindah dari Kesultanan Sukadana untuk menetap di tempat baru iaitu wilayah Sungai Sambas.

Pada tahun 1638, Sultan Tengah meninggalkan Sukadana melalui Sungai Sambas dengan 40 perahu yang lengkap dengan senjata menuju ke Panembahan Sambas di Sungai Sambas. Rombongan Sultan Tengah disambut dengan baik oleh Ratu Sapudak, Raja Panembahan Sambas ketika itu. Rombongan Baginda Sultan Tengah ini kemudian dibenarkan oleh Ratu Sapudak untuk menetap di sebuah tempat tidak jauh dari pusat pemerintahan Panembahan Sambas. Tidak lama kemudian Ratu Sapudak meninggal dunia dan digantikan oleh Raden Kencono yang menggunakan gelaran Ratu Anom Kesumayuda setelah menaiki takhta.

Sekitar 10 tahun setelah menetap di Panembahan Sambas, anak sulung Baginda Sulaiman dijodohkan dengan anak perempuan Almarhum Ratu Sapudak yang bungsu bernama Mas Ayu Bungsu. Sulaiman kemudian dianugerahkan gelaran Raden oleh Panembahan Sambas menjadi Raden Sulaiman dan tinggal di Panembahan Sambas bersama Mas Ayu Bungsu. Hasil perkahwinan dengan Mas Ayu Bungsu, Raden Sulaiman memperoleh seorang anak pertama yang diberi nama Raden Bima. Raden Sulaiman kemudian diangkat oleh Ratu Anom Kesumayuda menjadi salah satu Menteri Besar Panembahan Sambas bersama dengan Adinda Ratu Anom Kesumayuda yang bernama Raden Aryo Mangkurat.

Kembali Ke Sarawak

Tidak lama setelah melihat situasi yang sudah mulai aman di sekitar Selat Melaka dan anaknya Raden Sulaiman telah berkahwin dan menjadi Menteri Besar Panembahan Sambas, Sultan Tengah memutuskan untuk kembali ke Sarawak. Pada tahun 1652 Sultan Tengah berserta isterinya Putri Surya Kesuma dan keempat anaknya (adik kepada Raden Sulaiman) Badaruddin, Abdul Wahab, Rasmi Putri dan Ratna Dewi berserta orang-orangnya berangkat kembali ke Sarawak.

Di tengah perjalanan ketika telah hampir sampai ke Sarawak, iaitu di satu tempat yang bernama Batu Buaya, secara tiba-tiba Sultan Tengah ditikam dari belakang oleh pengawalnya sendiri. Kecederaan Sultan Tengah terlalu parah sehingga menyebabkan Sultan Tengah bin Sultan Muhammad Hasan wafat. Jenazah Sultan Tengah setelah disolatkan, kemudian dengan adat kebesaran Kesultanan Sarawak oleh Menteri-Menteri Besar Kesultanan Sarawak, dimakamkan di lereng Gunung Santubong. Putri Surya Kesuma setelah kewafatan suaminya memutuskan untuk kembali ke Kesultanan Sukadana bersama dengan keempat anaknya.

Penemuan makam Sultan Tengah adalah satu kejayaan besar dalam memperbanyakkan sumber sejarah di Sarawak. Walaupun Sarawak pada masa kini tidak mempunyai raja atau sultan tetapi sejarah awal menunjukkan Sarawak juga pernah mempunyai Sultan yang berasal dari Brunei.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard