thailand-800px
Sejarah

Perjanjian Bangkok 1909

10 Mac 1909 – Perjanjian Inggeris-Siam yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani di Istana Raja Siam di Bangkok. Perjanjian diantara United Kingdom dan kerajaan Siam ini ditandatangani pada 10 Mac 1909 dan diratifikasikan pada 9 Julai 1909.

Perjanjian itu adalah hasil dari rundingan-rundingan sulit Inggeris -Siam mengenai masalah-masalah kawasan pengaruh British dan maruah Siam. Pihak Inggeris khuatir dengan saingan perdagangan dan pengaruh Perancis, Rusia dan Jerman, sementara Siam pula ingin mendapatkan kembali maruah dan dignitinya yang telah hilang akibat hak-hak ekstrateritorial yang terpaksa diberikannya kepada kuasa-kuasa Barat iaitu Perancis dan British.

coat_of_arms_of_siam_1873-1910

Jata Kerajaan Siam 1873-1910

Oleh kerana Kerajaan Siam merasakan sukar untuk mengawal ekonomi dan pentadbiran negeri-negeri utara Tanah Melayu yang berlainan bangsa, budaya dan agama darinya itu dan ingin pula menitikberatkan pembangunan dalam negerinya sendiri, dan Inggeris pula sanggup melindungi negeri-negeri tersebut maka persetujuan pun mudah tercapai.

Hasilnya pada tahun 1909 Perjanjian Inggeris-Siam ditandatangani. Dengan perjanjian itu yang meletakkan Negeri-negeri utara Tanah Melayu-Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu (dulunya Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu) ke dalam kekuasaan British maka seluruh Tanah Melayu termasuk dalam kawasan pengaruh British sepenuhnya. Bagaimanapun Perjanjian Bangkok ini hanya disahkan pada 9 Julai 1909 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Butiran Perjanjian Bangkok 1909 adalah seperti berikut:-

  • Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan pulau-pulau bersebelahan kepada Great Britain.
  • Tarikh penyerahan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi perjanjian.
  • Perlantikan Suruhanjaya Bercampur untuk persempadanan Inggeris-Siam.
  • Hutang awam wilayah yang diserahkan akan tetap dibayar kepada Kerajaan Siam.
  • Penghapusan bidang kuasa Konsul British di Siam.
  • Hak rakyat British di Siam terhadap harta, kediaman dan perjalanan, cukai, dll.
  • Pengesahan perjanjian lama .
  • Ratifikasi dalam tempoh empat bulan.
bangkok_treaty_border-800px

Sempadan baharu British dengan Siam.

Kesan Perjanjian Bangkok 1909

Berikutan dari perjanjian itu, Kelantan adalah merupakan negeri yang pertama menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima Penasihat British pada tahun 1910.

Pada 14 Julai 1909, istiadat memindahkan kuasa pemerintahan Terengganu daripada tangan Siam kepada British dilangsungkan. Bagaimanapun hanya pada 22 April 1910, seorang pegawai British bertaraf Konsul dilantik di Terengganu, dan pada tahun 1919 barulah dilantik seorang Penasihat British apabila Terengganu menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima pemerintahan British.

Kedah pula menerima Penasihat British pada 15 Julai 1910 di Balai Besar, Alor Setar. Majlis tersebut dihadiri oleh Sultan Abdul Hamid, Tengku Mahmud, Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Kedah, Williamson Penasihat Kewangan Siam mewakili Raja Siam, George Maxwell mewakili British. Kedah hanya menandatangani perjanjian dengan Britain sebagai negeri naungan pada tahun 1923.

Pada tahun 1930, Perlis pula menandatangani perjanjian dengan Britain.

Dengan itu Semenanjung Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh Britain dan hubungan dengan negeri Siam terus terputus.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
lambang_kedah-800px
Sejarah

Pelembagaan Negeri Kedah 1848 Dipinda

13 Januari 1957 – Negeri Kedah merupakan diantara negeri yang terawal di negara ini yang menerima campur tangan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Campur tangan Inggeris telah membawa perubahan dalam pelbagai aspek, ini termasuklah berkaitan dengan pentadbiran negeri.

Sultan_Badlishah_Kedah

Pada tahun 1957, di saat Tanah Melayu berada di ambang kemerdekaan Sultan Kedah, Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah meminda perlembagaan negeri Kedah tahun 1848. Pelembagaan Negeri Kedah 1848 dipinda untuk menghapus jawatan penasihat British yang diwujudkan di negeri Kedah melalui perjanjian Bangkok 1909. Perjanjian Bangkok ini, meletakkan negeri Kedah di bawah kekuasaan Inggeris.

Upacara meminda perlembagaan 1848 Kedah ini dijalankan di Istana Chegar, Anak Bukit, Alor Star, Kedah. Turut hadir pada majlis ini Raja Muda, Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Kedah. Proses perubahan yang dijalankan sesuai dengan keadaan semasa negara, di mana Kemerdekaan Tanah Melayu akan diisytiharkan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
sultan_zainal_abidin III
Sejarah

Perjanjian Terengganu-British

22 April 1910 – Perjanjian Terengganu-British adalah satu perjanjian persahabatan yang ditandatangani oleh Sultan Terengganu, DYMM Sultan Zainal Abidin III dengan Sir John Anderson, Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu selaku wakil Kerajaan British.

Perjanjian Terengganu-British mengandungi 4 perkara iaitu:

  • Pertama- Sultan Terengganu dan Kerajaan British melalui perjanjian ini bersetuju untuk mewujudkan bantuan bersama antara kedua buah kerajaan. Kedua pihak bersetuju mengikut syarat-syarat yang tercatat dalam perjanjian ini.
  • Kedua- Kerajaan British dengan rasminya mengaku bahawa ia hanya bertujuan untuk melantik seorang Wakil British di Terengganu yang bertaraf Pegawai Konsul. Sultan Terengganu hendaklah memberikan dengan percuma satu kawasan di Terengganu untuk tempat kediaman Wakil British ini.
  • Ketiga- Kerajaan British bersetuju memberikan perlindungan kepada Negeri Terengganu serta tanah jajahannya daripada serangan musuh. Sebaliknya pula orang-orang British dibenarkan dari semasa ke semasa bergerak bebas di Negeri Terengganu untuk menentang musuh, dan
  • Keempat- Sultan Terengganu bersetuju bahawa Baginda tidak akan membuat hubungan politik atau menghantar wakil ke negara-negara luar tanpa persetujuan Kerajaan British. Sultan Terengganu juga tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu yang lain. Baginda juga berjanji tidak akan membenarkan pembukaan tanah melebihi 3,000 ekar kepada warganegara asing. Adalah dipersetujui juga bahawa apa sahaja perkara yang berbangkit yang memerlukan Sultan Terengganu berhubung dengan negara luar, baginda hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada Kerajaan British.

Sultan Sir Zainal Abidin III Muazzam Shah

Dengan Perjanjian Terengganu-British ini maka British telah dapat mencampuri urusan pemerintahan dalam negeri dan juga urusan hubungan luar negeri Terengganu. Sultan Terengganu tidak punya pilihan lain selain menerima perjanjian itu setelah baginda terpaksa menerima Perjanjian Bangkok 10 Mac 1909 yang membebaskan Terengganu selama-lamanya dari bayangan pengaruh Siam.

Walaupun begitu baginda sebenarnya tidak bersetuju dengan perjanjian itu (1909) yang memindahkan pertuanan Siam ke atas Terengganu kepada naungan British kerana bagi baginda Terengganu tidak pernah ditakluk oleh Siam. Bagaimanapun baginda terpaksa memilih antara ancaman pengaruh Siam atau Perlindungan British. Kedua-duanya adalah bentuk penjajahan tetapi baginda memilih yang kedua dan meminta jaminan kemerdekaan politik. Dengan itu pada hari ini dalam tahun 1910 baginda menandatangani perjanjian itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard