johor_causeway_bambard_1942
Sejarah

Serangan Tentera Jepun Ke Atas Singapura

09 Februari 1942 – Pada 31 Januari 1942, keseluruhan Tanah Melayu jatuh ke dalam tangan Jepun. Kekalahan pertahanan terakhir tentera British di Johor telah membawa kepada pengunduran mereka dari Tanah Melayu ke Singapura. Pada saat-saat akhir pengunduran tersebut, tentera British telah meletupkan tambak Johor. Tambak Johor yang dimusnahkan telah melewatkan serangan tentera Jepun ke atas Singapura selama seminggu.

Serangan udara ke atas Singapura telah dilakukan seawal 8 Disember 1941 untuk melemahkan pertahanan udara Singapura. Pengeboman awal telah dilakukan terhadap Pangkalan Tentera Laut Sembawang dan lapangan terbang di sebelah utara. Menjelang hari serangan hanya tinggal 10 buah pesawat udara British yang berpangkalan di Kallang. Ini disebabkan oleh pangkalan udara Tengah, Seletar dan Sembawang tidak dapat digunakan kerana berada dalam jarak serangan artileri tentera Jepun di Johor Baharu. Pesawat lain yang masih berfungsi telah dipindahkan untuk membantu pertahanan Borneo.

Hurricane_singapore

Pada pagi 9 Februari beberapa pertempuran udara berlaku di pantai Sarimbun. Dengan kemusnahan teruk Pangkalan Udara Kallang kesemua pesawat yang tinggal telah diundurkan ke Sumatera. Ini telah menyebabkan pertahanan udara Singapura lumpuh sepenuhnya.

Menyedari bilangan pasukannya semakin berkurangan dan bekalan yang terhad, Jeneral Yamashita perlu mengambil Singapura dengan kadar segera. Yamashita telah mengumpulkan sebahagian tentera Jepun di bahagian timur manakala sebahagian lagi dikumpulkan secara senyap di bahagian barat Johor.

Walaupun mengetahui terhadap kedudukan dan pergerakan tentera Jepun lebih awal, Pemerintah Malaya lebih yakin Jepun akan menyerang melalui kawasan timur.

singapore-map_1942

Permulaan Serangan Tentera Jepun Ke Atas Singapura

Untuk mengaburi Pihak British, tentera Jepun telah mengebom bahagian timur manakala 23,000 lagi masuk melalui barat. Pada 8:30 malam 8 Februari tentera Jepun dari divisyen ke-5 dan ke-18 mula menyeberang Selat Johor dengan kumpulan pertama sekitar 4,000 anggota pada satu-satu masa. Sejumlah 13,000 anggota mendarat pada malam tersebut manakala 10,000 anggota lagi pada awal pagi.

8_feb_singapore_attack_800px

Kredit Foto : Australian War Memorial

Briged ke-22 Australia yang diketuai oleh Brigedier Harold Taylor cuba mempertahankan kawasan tersebut walaupun bilangan mereka hanya sekitar 3,000 anggota. Gelombang pendaratan tentera Jepun yang semakin ramai menyebabkan pertahanan Australia semakin lemah. Menjelang tengah malam, tentera Jepun berjaya mengukuhkan kedudukan mereka. Tentera Australia pula terpaksa berundur dan berkumpul ke Pangkalan Udara Tengah.

Pada pagi 9 Februari, Percival menghantar Briged ke-12 Infantri India sebagai bantuan dan sampai kepada Mejar Jeneral Gordon Bennett pada waktu tengah hari. Briged ke-44 Infantri India yang masih bertahan mula merasakan tekanan dan setelah perbincangan di antara Percival dan Bennett, mereka bersetuju untuk berundur ke timur. Bennett mengambil keputusan membentuk barisan pertahanan kedua, dikenali sebagai “Kranji-Jurong Switch Line”, iaitu barisan pertahanan yang menghala ke barat, terletak di antara dua batang sungai yang berpusat di Bulim, timur Lapangan Terbang Tengah.

singapore_bulim_line_800px

Kredit Foto : Australian War Memorial

Masalah Komunikasi

Pasukan pertahanan Briged ke-27 Australia yang diketuai oleh Brigedier Duncan Maxwell bertahan pada bahagian tengah dengan menggunakan mesin dan mortar manakala kawasan perairannya telah disimbah dengan minyak lalu dibakar. Ini memberikan kesukaran bagi tentera Jepun untuk mara ke hadapan.

Masalah pentadbiran dan komunikasi telah melemahkan lagi pertahanan tentera British. Maxwell sedar Briged ke-22 sedang menghadapi tentangan yang hebat dan bimbang jika terjadi kepungan, akan tetapi beliau tidak dapat menghubungi Taylor untuk mengesahkannya. Apabila tentera Jepun mula menyerang bahagian barat dan mengeksploitasi jurang Sungai Kranji, Batalion 2/26 terpaksa berundur ke timur Jalan Bukit Timah.

Tindakan ini telah membuka laluan kepada tentera Jepun untuk memasuki Singapura melalui Kranji tanpa sebarang tentangan. Dengan terbukanya laluan tersebut, kereta kebal dan artileri mula masuk dan bergerak ke selatan dengan pantas.

9_feb_Singapore_causeway_attack_800px

Kredit Foto : Australian War Memorial

Pada 10 Februari masalah komunikasi antara Pasukan British semakin parah. Apabila arahan mengenai pertahanan kedua ke arah barat Reformatory Road dikeluarkan, Komander Briged ke-22 telah tersalah tafsir arahan tersebut lalu mengundurkan pasukannya ke arah timur. Pertahanan Jurung akhirnya runtuh apabila Brigedier Archie Paris, Komander Briged ke-12 India mengarahkan pasukannya berundur ke simpang berhampiran Bukit Panjang apabila beliau terputus hubungan dengan Briged ke-27. Komander Briged ke-44 India, Ballantine juga tersalah tafsir arahan dan mengundurkan pasukannya.

Pada 11 Februari tentera Jepun meneruskan kemaraan dengan Divisyen ke-5 menghala ke arah Bukit Panjang manakala Divisyen ke-18 ke arah Bukit Timah. Di Bukit Timah tentera Jepun telah bertempur dengan Batalion ‘X’ dan setelah mengalahkan Briged ke-6/ke-15 India, mereka mula menyerang Briged ke-22 berhampiran Reformatory Road.

12_feb_Singapore_attack_800px

Kredit Foto : Australian War Memorial

Menyedari bekalan semakin berkurangan, Yamashita cuba membohongi Percival dengan mengatakan “Hentikan penentangan terdesak dan tidak berguna ini”. Pada ketika ini kekuatan Briged ke-22 hanya tinggal beberapa ratus anggota sahaja. Jepun telah menawan Bukit Timah termasuk bekalan makanan dan minyak tentera British. Bagaimanapun Jeneral Archibald Wavell, (Komander American-British-Dutch-Australian Command) mengarahkan Percival supaya jangan menyerah dan terus berlawan. Usaha untuk mengambil semula Bukit Panjang dan Bukit Timah dilakukan tetapi gagal.

My attack on Singapore was a bluff – a bluff that worked. I had 30,000 men and was outnumbered more than three to one. I knew that if I had to fight for long for Singapore, I would be beaten. That is why the surrender had to be at once. I was very frightened all the time that the British would discover our numerical weakness and lack of supplies and force me into disastrous street fighting.
– Tomoyuki Yamashita

Pada 13 Februari, Tambak Johor telah diperbaiki oleh jurutera Jepun dan membolehkan lebih banyak kereta kebal masuk ke Singapura. Para pegawai senior telah menasihat Percival supaya menyerah bagi mengurangkan kehilangan nyawa orang awam. Percival masih enggan dan gagal mendapatkan arahan untuk menyerah dari pihak atasannya.

14_feb_Singapore_attack_800px

Kredit Foto : Australian War Memorial

Pertahanan tentera British masih diteruskan dengan tentera Australia berada di bahagian barat laut sekitar berek Tanglin, Di sebelah kanan mereka Divisyen ke-18 British, Divisyen ke-11 India dan Briged ke-2 Malaya berada di penghujung Farrar Road timur Kallang. Di sebelah kiri pula Briged ke-44 India dan Briged ke-1 Malaya berada dari Buona Vista ke Pasir Panjang. Tiada pertempuran besar yang dihadapi pada ketika ini kecuali di Pasir Panjang di mana Briged ke-1 Malaya yang terdiri daripada Batalion Infantri Malaya, dua Batalion Infantri British dan Pasukan Jurutera Diraja yang masih memberikan tentangan sengit terhadap tentera Jepun.

Lt_Adnan_Saidi

Dalam pertempuran tersebut, satu platun Melayu 42 anggota, diketuai oleh pegawai muda, Leftenan Adnan bin Saidi, menahan Jepun selama dua hari dalam Pertempuran Pasir Panjang. Unitnya mempertahankan Bukit Chandu, kawasan di mana simpanan termasuk simpanan peluru terbesar pihak British. Leftenan Adnan telah dibunuh oleh tentera Jepun selepas unitnya dikalahkan.

Pembunuhan Hospital Alexandra

Pada 14 Februari Jepun masih meneruskan serangan di bahagia barat, kawasan di mana pertempuran Bukit Candu pada hari sebelumnya. Pada jam 1 tengah hari, Jepun mara ke arah Berek Hospital Alexandra. Pada mulanya seorang Leftenan yang bertindak sebagai pengaman sambil mengibarkan bendera putih telah dibunuh dengan bayonet. Setelah memasuki hospital tersebut, tentera Jepun telah membunuh 50 lagi anggota tentera termasuk yang sedang dibedah. Doktor dan jururawat turut dibunuh.

Keesokannya, kira-kira 200 pekerja lelaki dan pesakit dipaksa berjalan kira-kira 400m ke arah kawasan perindustrian. Mereka yang terjatuh semasa dalam perjalanan akan ditikam dengan bayonet. Mereka dikumpulkan di dalam satu bilik yang sempit yang tidak mempunyai sistem pengudaraan yang baik. Mereka ditinggalkan semalaman tanpa bekalan air. Sebahagian dari mereka telah menemui ajal akibat tindakan tersebut. Mereka yang masih hidup ditikam dengan bayonet pada keesokan harinya.

Japanese_shooting_Sikh_prisoners

Menjelang 15 Februari meneruskan serangan. Pihak British telah kehabisan makanan dan kekurangan bekalan peluru. Meriam anti-pesawat juga kehabisan peluru dan tidak mampu mematahkan serangan udara Jepun yang menyebabkan kehilangan nyawa yang besar di kalangan orang awam di pusat bandar.

Penyerahan Kalah Tentera British

Pada 9:30 pagi, Percival mengadakan mesyuarat dengan para Komandernya. Percival memberikan dua pilihan iaitu serangan balas untuk mengambil kembali depot simpanan di Bukit Timah atau menyerah kalah. Setelah berbincang mereka mendapati tiada jalan untuk melancarkan serangan balas dan terpaksa menyerah kalah.

Satu pasukan telah dibentuk yang mengandungi pegawai tinggi, setiausaha dan jurubahasa dan dihantar untuk berbincang. Mereka menaiki kenderaan yang membawa bendera Union Jack dan bendera putih. Mereka kembali dengan arahan supaya Percival sendiri dan para pegawai tertingginya perlu hadir ke Kilang Kereta Ford untuk menerima syarat penyerahan kalah. Bendera Matahari Terbit juga perlu dinaikkan pada bangunan tertinggi di Singapura iaitu bangunan Cathay.

percival_surrender

Di bawah perjanjian itu juga segala penentangan perlu dihentikan pada 20:30 malam, semua angkatan tentera di Singapura perlu menyerah tanpa syarat. Semua pasukan British perlu melucutkan senjata dalam masa satu jam. British dibenarkan mengekalkan 1,000 anggota untuk mengawal sebarang rompakan sehingga diganti dengan tentera Jepun. Yamashita akan bertanggungjawab terhadap semua nyawa penduduk awam di Singapura.

British_Surrender

Percivel menyerah kalah secara rasminya pada 17:15 petang. Sebelum itu beliau telah mengarahkan supaya segala kod, peralatan dan dokumen rahsia termasuk senjata berat dimusnahkan terlebih dahulu. Dengan penyerahan kalah ini seluruh Persekutuan Tanah Melayu telah jatuh ke tangan Tentera Jepun pada 15 Februari 1942.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
Tugu Peringatan Negara
Sejarah

Perasmian Tugu Peringatan Negara

08 Februari 1966 – Tugu Peringatan Negara diilhamkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Pada 8 Februari 1966 ia telah siap dibina dan dirasmikan oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin. Tugu ini dibina sebagai penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960).

Tugu Negara terawal merupakan tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan di hadapan Stesyen Kereta api Kuala Lumpur, bersebelahan Masjid Negara. Ia didirikan oleh Pentadbir British bagi memperingati peperangan dan perwira yang terkorban. Tiang asal dialih ke Kompleks Tugu Peringatan Negara kini di kawasan Taman Tasik Perdana.

1st_tugu_negara

Tugu Awal

Pembinaan Tugu Peringatan Negara

Tapak Tugu Peringatan Negara dibuat daripada batu tertanam di dalam salji sejak beribu tahun di Kutub Utara. Tugu setinggi 15 meter ini diperbuat daripada gangsa dan merupakan arca berkumpulan yang tertinggi di dunia. Ia direka oleh pengukir dari Austria, Felix de Weldon. Tunku Abdul Rahman mendapat inspirasi untuk membina tugu ini kerana tertarik dengan hasil ukiran Felix de Weldon iaitu United States Marine Corps War Memorial (Iwo Jima Memorial) ketika lawatan Tunku ke Amerika Syarikat.

Menurut Utusan Malaysia dalam Rencana bertarikh 05 Oktober 2013, wajah yang menjadi acuan kepada patung berkenaan adalah bekas Menteri Besar Kedah yang keenam, Tan Sri Osman Aroff. Beliau telah dipilih secara rawak oleh Tunku Abdul Rahman untuk menjadi model. Tan Sri Osman kemudiannya beraksi dengan memakai pakaian seragam tentera dan menggayakan aksi seolah-olah sedang berperang di studio milik Felix de Weldon. Patung di bahagian tengah yang memegang bendera Malaysia itu pula adalah wajah Tunku ketika usia muda.

tan_sri_osman

Tan Sri Osman Aroff

Upacara Perasmian Tugu Peringatan Negara

Dalam ucapannya Tunku Abdul Rahman menganggap Tugu Peringatan Negara ini merupakan simbol dua kemenangan oleh para penduduk Tanah Melayu iaitu kemenangan ke atas pihak pengganas komunis dan kemenangan kepercayaan rakyat kepada negara. Tunku juga telah mengimbas kembali tentang penderitaan rakyat Tanah Melayu yang telah mengorbankan jiwa dan raga demi kejayaan negara. Majlis ini telah dihadiri oleh Presiden Korea, Chung Hee Park, orang-orang kenamaan dan kira-kira 100 waris pahlawan yang gugur semasa darurat pertama 1948.

Dalam upacara tersebut DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung telah menyingkap tirai kuning yang menutupi papan nama tugu dengan diiringi tiupan trompet yang memainkan irama menghibakan. Serentak dengan itu bendera Malaysia dinaikkan perlahan-lahan ke puncak tiang yang dipegang oleh salah satu patung pada tugu tersebut.

Percubaan Untuk Memusnahkan Tugu Peringatan Negara

Pada pagi 26 Ogos 1975 pengganas komunis telah cuba meletupkan tugu tersebut. Antara penduduk yang mendengar letupan itu adalah Tunku Abdul Rahman yang tinggal berhampiran. Unit Pemusnah Bom Polis menemui dua butir bom yang belum meletup di tempat kejadian serta kesan darah dipercayai milik pengganas yang cedera, tetapi masih sempat melarikan diri. Sebaik sahaja letupan itu berlaku, polis terserempak dengan dua orang dipercayai komunis menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar dalam keadaan mencurigakan di simpang Jalan Traves dan Jalan Bangsar, Kuala Lumpur.

Kesan letupan tersebut telah menyebabkan satu patung jatuh, dua patung putus kepala dan rosak pada bahagian kaki. Lantai marmar di sekeliling kawasan tugu turut retak sepanjang 0.6 meter disebabkan patung besar jatuh ke lantai. Kerja membaikpulih Tugu Peringatan Negara telah siap pada 11 April 1977 oleh Christoper Carney, Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Upacara Memperingati Hari Pahlawan

Mulai 2010, lokasi sambutan Hari Pahlawan dipindahkan dari Tugu Negara ke Putrajaya. Upacara meletakkan bunga dan bertafakur di hadapan Tugu Negara tidak lagi diadakan kerana dianggap perbuatan syirik dan khurafat. Selama ini upacara tersebut lakukan untuk memperingati Hari Pahlawan yang diadakan pada 31 Julai setiap tahun sejak 1963.

Sidang media tentang keputusan itu telah diadakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Jamil Khir Baharom. Keputusan ini sesuai dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang berbincang pada 6 hingga 7 Oktober 1987 yang telah mengeluarkan fatwa bahawa ianya adalah amalan yang bercanggah dengan Islam dan syirik.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
pustaka_p_ramlee-800px
Sejarah

Perasmian Pustaka Peringatan P. Ramlee

22 Mac 1986 – Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di No 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman Daud. Pustaka ini yang ditadbir oleh Arkib Negara Malaysia ditubuhkan dengan tujuan untuk memperingati sumbangan dan jasa Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee terhadap dunia seni tanah air serta menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya negara.

Bangunan Pustaka ini pada asalnya adalah bekas rumah kediaman beliau dan telah diubah suai dan dijadikan pustaka yang mempamerkan bahan-bahan dan maklumat mengenai Tan Sri P. Ramlee yang sememangnya sinonim dengan perkembangan seni muzik dan perfileman tanah air dalam era 50an.

Bahan-bahan yang dipamerkan termasuk surat menyurat, dokumen, buku, filem, piring hitam, pita rakaman, Anugerah Kebesaran serta hadiah-hadiah yang diterima Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia seni. Selain dari itu, terdapat juga baju-baju milik Tan Sri P.Ramlee dan biduanita Saloma dipamerkan.

Penubuhan Pustaka Peringatan P. Ramlee ini bukan sahaja sebagai penghargaan paling tinggi terhadap jasa dan bakti Allahyarham dalam perkembangan dunia seni tetapi juga akan dapat meningkatkan martabat seni tanah air.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard