3 November 2003 – Pada tahun 2003, Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Tun Razak telah merasmikan majlis pelancaran seragam, logo dan lagu tema PLKN di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Majlis pelancaran ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Pertahanan , Datuk Subhan Jasmon dan Ketua Pengarah Jabatan Khidmat Negara, Kamaruzzaman Mohd Nor.
Selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara Datuk Seri Najib turut menjelaskan bahawa pakaian yang direka untuk kegunaan para peserta PLKN merangkupi tiga aspek keperluan peserta itu sendiri seperti aktiviti latihan fizikal, aktiviti kelas dan aktiviti luar.
Penghasilan logo, lagu dan reka bentuk pakaian ini telah dilakukan dengan teliti dan terbuka bagi memastikan ia mempunyai unsur-unsur yang digemari oleh golongan remaja. Secara keseluruhannya logo, lagu dan pakaian seragam PLKN ini mencerminkan gaya hidup dan penampilan sebenar yang digemari oleh remaja di Malaysia.
Hari ini program PLKN telah berjaya melahirkan generasi muda yang memiliki sifat persefahaman yang tinggi selain bijak berinteraksi dengan persekitaran demi mencapai kejayaan dan keharmonian bersama.
Sumber : Arkib Negara Malaysia