01 April 1946 – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah ditubuhkan pada tahun 1946. Penubuhannya bertujuan untuk menyelaras segala aspek berkaitan pengangkutan bagi seluruh negeri.
Berikutan dengan penubuhan jabatan ini, pelbagai akta berkaitan Pengangkutan Jalan telah digubal seperti Ordinan Lalulintas Jalan Tahun 1958 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987. Penggubalan ini bertujuan menyeragamkan undang-undang pengangkutan negara serta menjadi landasan kepada JPJ melaksanakan tanggungjawabnya.
Jabatan Pengangkutan Jalan yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia ini bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan kaunter untuk pelesenan kenderaan dan pemandu serta menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan 1987, bagi memastikan pemandu yang berhemah dan kenderaan yang selamat.
Dalam menjalankan tugasnya Jabatan Pengangkutan Jalan telah dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti Bahagian Pendaftaran dan Pelesenan Kenderaan serta Pengujian Pelesenan Pemandu, Bahagian Teknik, Bahagian Pelesenan Perdagangan dan Bahagian Penguatkuasaan.
Sejak dari awal penubuhannya JPJ telah menyediakan perkhidmatan yang berkualiti, menguruskan pungutan hasil serta menguatkuasakan akta pengangkutan secara telus dan berkesan.
Sumber : Arkib Negara Malaysia