28 Oktober 1403 – Pada tahun 1403, Maharaja Yung Lo, China telah mengarahkan Laksamana Yi Ch ‘ing mengetuai satu utusan menemui Raja Melaka, Parameswara. Hasil dari pertemuan itu maka bermulalah perhubungan perdagangan dan politik antara China dan Melaka.
Maharaja Yung Lo dari Dinasti Ming yang memerintah dari tahun 1402-1424 merupakan pemerintah yang bijak dan terkenal. Beliau telah menubuhkan sebuah Angkatan Tentera Laut dan melalui beberapa siri ekspedisi angkatan itu, China telah berjaya membawa beberapa negara tunduk di bawah naungannya dan ini menjadikan China sebagai sebuah negara yang berkuasa di Asia. Di antara bulan Oktober 1402 hingga awal Oktober 1403, Maharaja Yung Lo telah mengadakan hubungan dengan negeri-negeri di Asia Tenggara seperti Annam, Champa, Siam, Jawa, Majapahit, Acheh dan India Selatan.
Sejak itu utusan-utusan China sentiasa berulang-alik dan mengadakan lawatan ke negeri-negeri di Asia Tenggara. Hasil dari laporan lawatan tersebut, Maharaja Yung Lo mengetahui akan wujudnya Kerajaan Melayu Melaka. Berikutan itu, pada hari ini dalam tahun 1403, Yin Ch’ing pun dihantar untuk menemui Parameswara dengan membawa hadiah-hadiah yang mahal seperti emas, payung dan kain sutera. Parameswara menyambut baik kedatangan utusan China itu dan meminta supaya Melaka menjadi naungan China. Dengan hubungan persahabatan antara China dan Melaka ini, terselamatlah Melaka dari serangan Siam.
Maharaja Yung Lo mengakui Parameswara sebagai pemerintah Melaka dan Kerajaan Siam diberi amaran supaya jangan mengganggu dan menyerang Melaka. Melaka telah mendapat banyak faedah hasil dari hubungannya dengan China. Pada tahun 1409, China telah mengiktiraf Kesultanan Melaka. Pelabuhan Melaka menjadi tempat persinggahan pedagang-pedagang Islam dari Selatan India di dalam perjalanan mereka ke Siam dan Acheh.
Setelah menerima perlindungan politik dari Negeri China, peranan Melaka sebagai ‘entrepot’ menjadi bertambah pesat, disebabkan kehadiran lebih ramai pedagang asing. Melaka menjadi pusat perdagangan yang utama di Asia Tenggara. Hubungan antara China dan Melaka telah diteruskan oleh Sultan-sultan selepas Parameswara.
Apabila Melaka bertambah kuat dan menjadi sebuah Empayar, hubungan antara China dan Melaka bertukar menjadi hubungan diplomatik. Di zaman Sultan Mansor Shah, Maharaja China pada masa itu telah menghantar puterinya, Puteri Hang Li Po ke Melaka, untuk berkahwin dengan baginda. Melaka dan China teguh menjadi sahabat setia, sehinggalah kedatangan kuasa Barat yang mengubah segalanya.
Sumber : Arkib Negara Malaysia