batu_peringatan_pahlawan_padang_kachung-800px
Sejarah

Pertempuran Padang Kanchung

23 Mei 1928 – Pada tahun 1928, satu pertempuran telah berlaku di antara pejuang-pejuang penentang pentadbiran British di Terengganu dengan pasukan Kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Lela.

Penentangan ini terjadi kerana perasaan benci penduduk terhadap Pentadbiran British yang telah memperkenalkan peraturan yang mewajibkan rakyat mempunyai surat izin untuk membuat huma, menebang kayu, membuka tanah, malah mengambil daun untuk membuat atap. Di samping itu dikenakan juga cukai hasil tanah dan pendapatan tanah serta menyekat rakyat dari memburu binatang liar.

Setelah berjaya menawan balai polis di Kuala Berang pejuang-pejuang tersebut menuju ke Kuala Terengganu untuk mengadu kepada Sultan Terengganu. Ketika sampai di Padang Kanchung mereka telah bertempur dengan pasukan polis. Dalam pertempuran di Padang Kanchong ini 12 orang dari pihak pejuang telah terkorban. Hampir kesemua ketua-ketua pejuang ini telah ditangkap dan dikenakan hukuman penjara.

Haji Abdul Rahman Limbong yang juga didapati bersalah tetapi tidak dikenakan dihukum penjara. Beliau telah dibuang ke Singapura dan seterusnya ke Mekah. Haji Abdul Rahman Limbong telah meninggal dunia sekitar 15 bulan selepas itu di Mekah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard
kampung-800px
Sejarah

Haji Abdul Rahman Limbong Menentang Peraturan Inggeris

19 April 1928 – Pada tahun 1928, Tuan Haji Abdul Rahman Limbong seorang ulama terkenal dan berpengaruh di Terengganu telah ke Dungun bagi menyebarkan idea menentang peraturan yang diperkenalkan oleh Inggeris.

Tuan Haji Abdul Rahman Limbong atau nama sebenarnya Haji Abdul Rahman bin Abdul Hamid merupakan tokoh agama yang berpengaruh luas di Terengganu. Beliau yang dianggap alim lagi keramat ini sangat dihormati. Pengetahuan agamanya yang mendalam adalah satu keistimewaan yang dikagumi dan beliau adalah ketua membela rakyat yang didakwa kerana membuka tanah tanpa kebenaran. Malah Abdul Rahman Limbong menggalakkan rakyat membuka tanah kerana baginya tanah adalah hak Allah yang diusahakan dan boleh dipakai. Tanah akan dimiliki bila ianya diusahakan dan boleh dipusakai. Sekiranya tidak diwarisi tanah boleh diserah kepada ‘Baitulmal’. Jika didapati tiada pemilik tanah ini akan menjadi hak kerajaan.

Peraturan tanah yang diperkenalkan oleh Inggeris di Terengganu dalam tahun 1921 mensyaratkan bayaran cukai sebanyak lima puluh sen setahun. Hutan-hutan tidak dibenarkan dibuka. Pengenalan undang-undang tanah ini bererti menghapuskan undang-undang adat pemilikan tanah petani yang pernah dikerjakan turun temurun. Maka itu rakyat berpendapat tidak wajar mereka mengambil surat kebenaran kalau tanah yang diminta itu hak milik pusaka nenek moyang mereka dahulu.

Sebelum perlaksanaan undang-undang tanah, penduduk di kawasan Ulu Terengganu termasuk Dungun bebas membuka hutan secara kolektif untuk berhuma. Hasil-hasil hutan seperti rotan, buluh, damar dan lain-lain boleh diambil tanpa sebarang larangan. Bagi mereka tanah merupakan sumber utama kehidupan. Halangan menggunakan tanah merupakan persoalan hidup atau mati, dan inilah juga yang menimbulkan penentangan pada pemerintahan kolonial Inggeris.

Haji Abdul Rahman Limbong mendapati bahawa tanah di Ulu Terengganu mempunyai pemilik sah maka itu peraturan tanah British yang mahukan bayaran hasil penempatan dan surat kebenaran membuka tanah dianggap tidak adil dan keterlaluan.

Sungguhpun maklumat yang disebarkan oleh Abdul Rahman Limbong ini bukanlah untuk menentang kuasa Sultan tetapi menyatakan rasa keinsafan dan kesedaran bahawa pemerintahan negeri telah dikuasai oleh Inggeris dan golongan birokrat yang menjalankan tugas tanpa pertimbangan yang adil. Dan ternyata, dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu, Haji Abdul Rahman Limbong telah berjaya membangkit semangat pergerakan menentang kolonial yang menyeluruh.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard