Sultan_Ali_Iskandar_Shah_Johor-800px
Sejarah

Sultan Ali (Johor) Mangkat Di Umbai Melaka

20 Jun 1877 – Sultan Ali Ibni Almarhum Sultan Hussain Shah, Sultan Johor telah mangkat di Umbai Melaka pada 20 Jun 1877. Berita kemangkatan baginda telah disampaikan kepada putera baginda Tengku Alam yang pada masa itu bersemayam di Istana Kampong Gelam, Singapura bersama-sama Maharaja Abu Bakar.

Pada mulanya Tengku Alam enggan ke Melaka untuk pemakaman tersebut selagi beliau tidak dilantik menjadi Sultan menggantikan Sultan Ali. Tetapi akhirnya, Tengku Alam terpaksa beralah setelah ia mengetahui bahawa Gabenor Inggeris benar-benar tidak mahu melantiknya menjadi Sultan.

Sultan Ali Iskandar Shah

Sultan Ali Iskandar Shah

Tengku Alam telah berangkat ke Johor dengan kapal Maharaja Abu Bakar kemudian ke Umbai, Melaka. Walaupun Tengku Alam hadir Baginda telah menjauhkan diri.

Setiausaha Kerajaan Negeri-negeri Selat turut hadir di upacara itu untuk memastikan tidak ada sebarang pergaduhan berlaku atau tidak ada sebarang pengisytiharan pengganti Sultan diadakan.

Selepas kemangkatan Sultan Ali, perebutan kuasa telah berlaku di kalangan keluarga Sultan Ali sendiri. Beberapa peristiwa pertumpahan darah telah tercetus seperti di Kuala Muar oleh Suliwatang. Keadaan ini berlarutan hingga tahun 1883.

Akan tetapi dengan kebijaksanaan Maharaja Abu Bakar untuk menamatkan keadaan kucar-kacir yang menggugat keamanan negeri Johor, satu perjanjian setia telah diadakan dengan Kerajaan Inggeris.

Dalam perjanjian ini Inggeris bersetuju memberikan bantuan kepada Maharaja Abu Bakar dalam menghadapi soal kekacauan tersebut. Kedaulatan dapat diselamatkan dan Maharaja Abu Bakar dilantik menjadi pemerintah Johor bergelar Sultan hingga keturunannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard