11 Julai 1957 – Pada tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan.
Usaha merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru ini telah dirangka oleh sebuah Suruhanjaya yang dibentuk hasil daripada lawatan Setiausaha Kerajaan British dan perbincangan yang telah diadakan bersama Raja-raja Melayu serta Menteri- Menteri Perikatan pada bulan Ogos 1955.
Suruhanjaya yang dipengerusikan oleh Lord Reid dan dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, B. Malik dan Hakim Abdul Hamid telah menyediakan Kertas Putih Persekutuan Tanah Melayu No. 15 tahun 1956 dan telah diterbitkan pada 7 Mac 1956.
Antara peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan ini ialah mengenai pembentukan sebuah Kerajaan Pusat dengan kuasa autonomi diberikan kepada tiap-tiap negeri dibawah Persekutuan Tanah Melayu dan segala urusan perjalanan pentadbiran dilaksanakan secara persetujuan bersama.
Ianya juga menyatakan tentang kedudukan Raja-raja Melayu sebagai Raja Berpelembagaan bagi negeri masing-masing.
Sesungguhnya, Perlembagaan yang telah diluluskan ini telah menjadi asas kepada Perlembagaan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia.
Sumber : Arkib Negara Malaysia