22 April 1910 – Perjanjian Terengganu-British adalah satu perjanjian persahabatan yang ditandatangani oleh Sultan Terengganu, DYMM Sultan Zainal Abidin III dengan Sir John Anderson, Gabenor Negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu selaku wakil Kerajaan British.
Perjanjian Terengganu-British mengandungi 4 perkara iaitu:
- Pertama- Sultan Terengganu dan Kerajaan British melalui perjanjian ini bersetuju untuk mewujudkan bantuan bersama antara kedua buah kerajaan. Kedua pihak bersetuju mengikut syarat-syarat yang tercatat dalam perjanjian ini.
- Kedua- Kerajaan British dengan rasminya mengaku bahawa ia hanya bertujuan untuk melantik seorang Wakil British di Terengganu yang bertaraf Pegawai Konsul. Sultan Terengganu hendaklah memberikan dengan percuma satu kawasan di Terengganu untuk tempat kediaman Wakil British ini.
- Ketiga- Kerajaan British bersetuju memberikan perlindungan kepada Negeri Terengganu serta tanah jajahannya daripada serangan musuh. Sebaliknya pula orang-orang British dibenarkan dari semasa ke semasa bergerak bebas di Negeri Terengganu untuk menentang musuh, dan
- Keempat- Sultan Terengganu bersetuju bahawa Baginda tidak akan membuat hubungan politik atau menghantar wakil ke negara-negara luar tanpa persetujuan Kerajaan British. Sultan Terengganu juga tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu yang lain. Baginda juga berjanji tidak akan membenarkan pembukaan tanah melebihi 3,000 ekar kepada warganegara asing. Adalah dipersetujui juga bahawa apa sahaja perkara yang berbangkit yang memerlukan Sultan Terengganu berhubung dengan negara luar, baginda hendaklah terlebih dahulu merujuk kepada Kerajaan British.
Dengan Perjanjian Terengganu-British ini maka British telah dapat mencampuri urusan pemerintahan dalam negeri dan juga urusan hubungan luar negeri Terengganu. Sultan Terengganu tidak punya pilihan lain selain menerima perjanjian itu setelah baginda terpaksa menerima Perjanjian Bangkok 10 Mac 1909 yang membebaskan Terengganu selama-lamanya dari bayangan pengaruh Siam.
Walaupun begitu baginda sebenarnya tidak bersetuju dengan perjanjian itu (1909) yang memindahkan pertuanan Siam ke atas Terengganu kepada naungan British kerana bagi baginda Terengganu tidak pernah ditakluk oleh Siam. Bagaimanapun baginda terpaksa memilih antara ancaman pengaruh Siam atau Perlindungan British. Kedua-duanya adalah bentuk penjajahan tetapi baginda memilih yang kedua dan meminta jaminan kemerdekaan politik. Dengan itu pada hari ini dalam tahun 1910 baginda menandatangani perjanjian itu.
Sumber : Arkib Negara Malaysia