22 Mac 1986 – Pustaka Peringatan P. Ramlee yang terletak di No 22, Jalan Dedap, Taman Furlong, Setapak dibuka dengan rasminya oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Dr. Sulaiman Daud. Pustaka ini yang ditadbir oleh Arkib Negara Malaysia ditubuhkan dengan tujuan untuk memperingati sumbangan dan jasa Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee terhadap dunia seni tanah air serta menggalakkan kajian dan penyelidikan dalam aspek seni dan budaya negara.
Bangunan Pustaka ini pada asalnya adalah bekas rumah kediaman beliau dan telah diubah suai dan dijadikan pustaka yang mempamerkan bahan-bahan dan maklumat mengenai Tan Sri P. Ramlee yang sememangnya sinonim dengan perkembangan seni muzik dan perfileman tanah air dalam era 50an.
Bahan-bahan yang dipamerkan termasuk surat menyurat, dokumen, buku, filem, piring hitam, pita rakaman, Anugerah Kebesaran serta hadiah-hadiah yang diterima Allahyarham sepanjang pembabitannya dalam dunia seni. Selain dari itu, terdapat juga baju-baju milik Tan Sri P.Ramlee dan biduanita Saloma dipamerkan.
Penubuhan Pustaka Peringatan P. Ramlee ini bukan sahaja sebagai penghargaan paling tinggi terhadap jasa dan bakti Allahyarham dalam perkembangan dunia seni tetapi juga akan dapat meningkatkan martabat seni tanah air.
Sumber : Arkib Negara Malaysia