tunku_banda_hilir
Sejarah

Pengumuman Kemerdekaan Di Padang Bandar Hilir, Melaka

20 Februari 1956 – Pengumuman Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diumumkan oleh YTM Tunku Abdul Rahman sebaik sahaja tiba di Banda Hilir, Melaka. Pada 18 Januari 1956 Rombongan Merdeka yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra telah berlepas ke London untuk mengadakan rundingan dengan pihak Inggeris.

Rombongan Merdeka turut disertai oleh empat wakil perikatan dan empat wakil Raja-Raja Melayu. Rombongan kemerdekaan Tanah Melayu telah berjaya mendapatkan persetujuan kerajaan British untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu setelah berunding selama tiga minggu.

Perjanjian Kemerdekaan Tanah Melayu telah ditandangani oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak kerajaan Tanah Melayu dan Encik Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British bagi pihak kerajaan British pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London.

Pengumuman Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu

Rombongan Merdeka yang pulang dari kota London ini mendapat sambutan meriah ketika tiba di Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka. Dari sana mereka diarak dengan diiringi oleh kumpulan pemuda bermotosikal dan puluhan buah kereta ke Padang Banda Hilir, Melaka.

tunku_banda_hilir_melaka

Sebaik sahaja tiba di Padang Banda Hilir, Melaka Tunku Abdul Rahman Putra memulakan ucapan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan. Seterusnya beliau mengumumkan bahawa menurut Perjanjian Kemerdekaan yang ditandatangani pada 8 Februari 1956, Persekutuan Tanah Melayu akan mencapai kemerdekaan dengan rasminya pada 31 Ogos 1957.

Serentak dengan pengumuman kemerdekaan ini, laungan “Merdeka” bergema di Padang Banda Hilir yang dibanjiri oleh 100,000 orang yang datang dari seluruh pelosok Persekutuan Tanah Melayu.

Petikan Asal Ucapan Tunku Abdul Rahman.

Perishtiharan tarikh kemerdekaan Malaya. Bahawa di-dalam perjalanan sejarah manusia tidak ada suatu bangsa pun yang boleh menyelamatkan diri-nya jikalau bangsa itu berdiam diri memelok tuboh selama2-nya. Sudah semasti-nya bangsa itu harus memileh satu di-antara dua arah, maju atau mondor. Itu terserah kapada kesanggupan dan kesedaran bangsa itu menghadapi perubahan2 dan perkembangan2.

Manakala ra’ayat itu di-dalam keadaan berpuas hati dengan taraf dan kedudokan yang ada maka sentiasa-lah mereka merasa bimbang atas sa-barang perkara yang harus membawa perubahan. Mereka akan berasa churiga terhadap sa-barang langkah atau sa-orang yang membawa fikiran2 dan pendapat2 baharu. Tetapi kerana sejarah manusia ada-lah sejarah perubahan2 dan kemajuan untok menchiptakan sesuatu yang lebeh baik dan sempurna bangsa yang merasa kepuasan tadi akan tinggal sa-makin jauh ka-belakang dan akhir-nya hilang lenyap dan hanya akan di-timbulkan kembali oleh ahli2 sejarah yang akan datang.

Kita ada-lah amat beruntong kerana bangsa kita telah di-kurniakan Tuhan yang maha kuasa dengan ketabahan dan keberanian. Kita ada-lah suatu bangsa yang pernah meni’mati kebesaran dan mempunyai pesaka kebangsaan yang gilang-gemilang. Sunggoh pun perjalanan sejarah telah menukarkan nasib kita daripada suatu bangsa yang merdeka dan agong kepada bangsa yang hina dan terjajah namun kita maseh tetap dapat mempertahankan anugerah Tuhan yang berupa kebesaran jewa, rasa kemulia-an, ke’adilan dan semangat yang tidak dapat di-patahkan sementara kita terta’alok di-bawah penjajahan lebeh daripada 400 tahun lama-nya.

Ketahui-lah bahawa kita ra’ayat kemerdekaan sa-chara perlembagaan dan pada hari ini maksud kita itu telah kita chapai. Dari itu dengan nama Allah yang maha murah lagi maha mengasehani bahawa atas nama ra’ayat Malaya mengishtihar-kan bahawa kemerdekaan penoh Persekutuan Tanah Melayu dalam Commonwealth menurut perjanjian yang telah di-chapai di-London akan di-laksanakan pada 31 haribulan August tahun 1957. Pohon Allah izinkan.

Transkrip penuh ucapan Tunku Abdul Rahman (pdf) : Pengumuman Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard