upm_logo-800px
Sejarah

Pengisytiharan Nama Baru Universiti Pertanian Malaysia

03 April 1997 – Universiti Pertanian Malaysia menempa sejarah dengan pengisytiharan nama baru, iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Mahathir Mohamad. Nama baru ini menggambarkan UPM menawarkan pelbagai bidang program termasuk sains dan teknologi di samping program berkaitan pertanian, perhutanan dan veterinar. Nama baru ini dipilih kerana lokasinya bersebelahan dengan Putrajaya dan mengambil sempena nama Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Sejarah penubuhan UPM bermula sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 dengan tujuan untuk menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian. Pada 23 Jun 1947, Sekolah Pertanian dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya. Pada 31 Mac 1969, Tun Abdul Razak Hussein telah mengutarakan penubuhan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah.

Sehubungan itu, penubuhan UPM telah menjadi kenyataan melalui Warta Kerajaan P.U. (A) 387 bertarikh 29 Oktober 1971 dan pada 23 Julai 1973, UPM memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. UPM mula mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pada 30 Julai 1977.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard